Saturday, May 24, 2014

Saudi, EAB, Laksana Perundangan Islam Tetap Didatangi Pelabur.

 


KOTA BHARU: Media-media tempatan terutamannya berbahasa Cina diharap memainkan peranan menjelaskan isu hudud bagi membolehkan masyarakat bukan Islam lebih faham.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, media sewajarnya memainkan peranan proaktif bagi menjelaskan segala kekeliruan yang timbul.

“Apa yang berlaku  sekarang didapati masyarakat bukan Islam kurang memahami apa yang dimaksudkan sebagai perundangan hudud.
“Keadaan tambah mengelirukan lagi apabila laporan media tidak jelas mengenai perkara itu. Sepatutnya kalau media tidak tahu mereka datang berjumpa kami.
“Editor perlu mendapat kefahaman yang lebih jelas,” katanya kepada media selepas program penjelasan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II kepada masyarakat bukan Islam di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Dr Mohamad Fadhli Hassan, Datuk Nassurudin Daud, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng. Selain itu Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Kelantan, Ooi Poh Chung, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Lee Sing Loong.

Lebih 100 masyarakat bukan Islam termasuk India dan Siam serta penghulu-penghulu tanpa mukim hadir pada program tersebut. Petang semalam difahamkan MCA turut menganjurkan program penerangan mengenai hudud di pejabat parti tersebut yang dihadiri kira-kira 50 ahli parti itu.

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan membawa private member’s bill ke parlimen bagi membolehkan Kelantan dapat melaksanakan perundangan hudud bagi masyarakat Islam di Kelantan. Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri sedia berbincang dengan sesiapa sahaja termasuk Umno bagi menjelaskan mengenai hukum hudud.

“Kami bersedia pada bila-bila  masa sahaja bagi menjelaskan perundangan tersebut kepada mana-mana pihak.
“Bagaimanapun penjelasan kepada masyarakat bukan Islam akan dipertingkat lagi memandangkan masih ramai masih keliru lebih-lebih lagi laporan media yang agak mengelirukan,” katanya.

Pada program itu beberapa wakil  masyarakat Tionghua mahu kepastian perundangan hudud benar-benar tidak dikenakan terhadap masyarakat  bukan Islam di Kelantan. Merungkai masalah itu Mohd Amar berkata, analogy yang mudah untuk difahami seperti juga dengan sembahyang dan puasa tidak dikenakan terhadap orang bukan Islam.

Bagaimanapun bagi orang beragama Islam yang didapati bersalah tidak akan terlepas dengan perundangan hudud kerana mereka menganut agama Islam. Dr Fadhli pula menjelaskan hanya  enam kes sahaja yang boleh dikenakan hukuman hudud iaitu mencuri, merompak,  berzina, menuduh orang berzina, minum arak dan murtad.

Menjawab soalan lain Mohd Amar berkata, pelabur tidak perlu gusar terhadap pelaksanaan perundangan hudud kerana keadaan negeri lebih aman dan sentosa daripada perlakuan jenayah.

“Pelabur hanya akan berminat  datang untuk melabur apabila berlaku kestabilan politik dan keselamatan mereka terjamin.
“Hudud akan menjamin untuk melahirkan keamanan dalam negeri. Ini boleh dilihat di Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu dan Qatar yang melaksanakan perundangan Islam tetap didatangi pelabur-pelabur dari barat,” ujar Mohd Amar. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails