Thursday, May 01, 2014

Selamat Hari Pekerja, Saya Anak FELDA




Oleh
MAZLAN ALIMAN 

Saya ingin mengambil kesempatan, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hanipa Maidin dan pasukan peguamnya, Nassar dan Azhana Khairuddin yang bertungkus lumus bagi pihak saya selaku Defendan Pertama dan Defendan Kedua hingga keenam dalam kes saman fitnah Felda mengenai penjualan minyak sawit ke Israel.

Khidmat bakti mereka tidak akan saya lupakan sepanjang hayat. Saya dapat merasakan usaha gigih mereka mengendalikan kes ini yang mendapat liputan dan pemerhatian berbagai pihak.

Ingin saya tegaskan, bahawa segala kritikan, teguran dan pandangan terhadap Felda selaku Badan Berkanun adalah sebagai check and balance. Ada kalanya sebagai kumpulan pendesak, untuk mempastikan 112,635 peneroka di 317 Skim Felda seluruh negara terbela dan terpelihara hak-hak mereka.

Apa faedahnya saya memfitnah Felda, sedangkan saya membesar di Felda dan kebun sawit adalah tempat keluarga kami mencari rezeki. Saya adalah anak peneroka yang berhijrah dari kampung sejak tahun 1968, menyahut seruan kerajaan dengan matlamat menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Namun, meskipun bapa saya mendapat tanah 10 ekar dan rumah, ia bukan percuma. Setiap peluh yang menitis adalah daripada keringat kami sekeluarga; sejak zaman awal, membayar hutang piutang (Bayaran Kembali) hingga beroleh hak milik.

Saya membawa isu Felda sejak tahun 1989 lagi. Beratus kes peneroka, anak peneroka dan kakitangan Felda yang saya kendalikan. Saya bukan perunding yang mendapat bayaran daripada mereka, tetapi niat saya semata-mata kerana Allah. Saya mahu akhiri sisa hidup berbakti untuk warga Felda seluruh negara.

Sama ada peneroka itu PAS atau Umno, tiada beza bagi saya. Saya bersama pasukan ANAK akan bantu seupaya mungkin. Sejujurnya, saya amat menyayangi masyarakat Felda; meskipun sebahagian besar daripada mereka tidak mengundi saya dalam pilihan raya!

Apapun kata nista dan fitnah yang dilemparkan, saya tidak akan kecewa dan semakin bertekad membantu dan membawa perubahan demi warga Felda yang saya kasihi.

Kepada YAB PM, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Felda, Pengarah Besar Felda dan 23 ribu kaki tangan Felda; jangan anggap saya sebagai musuh. Pemimpin ini yang bertanggungjawab menjaga kepentingan lebih sejuta warga Felda. Jangan angkuh. Mari kita bersemuka dan berbincang demi kepentingan rakyat. Saya cuba berusaha sewaktu Datuk Ahmad Maslan jadi Timbalan Menteri yang jaga Felda. Tapi gagal, atas sikap dan prejudis beliau.

Hentikan ketidakadilan kepada peneroka. Tunaikan hak mereka. Mereka adalah tuan tanah yang bersusah payah, berkorban apa sahaja untuk kehidupan. Jangan khianati mereka.

Insya-Allah, saya akan membuat kunjung hormat ke Ibu pejabat Felda dan berusaha membuka lembaran baru bagi mempastikan kehidupan warga Felda lebih baik dan menepati tujuan ia di tubuhkan.

SELAMAT HARI PEKERJA!

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Weblog ini juga mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh pekerja-pekerjadi dunia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails