Sunday, May 25, 2014

Seminar Anti-Kristian UiTM ‘Panas. ’ MAIS Lepas Tangan


Seminar 'anti-Kristian' yang dianjurkan bersama beberapa syarikat dan badan agama baru-baru ini dikatakan diaturkan kandungannya tanpa pengetahuan para penaja yang menganggap ianya hanya seminar akademik. – Gambar The Malaysian Insider, 25 Mei, 2014.  
Seminar 'anti-Kristian' yang dianjurkan bersama beberapa syarikat dan badan agama baru-baru ini dikatakan diaturkan kandungannya tanpa pengetahuan para penaja yang menganggap ianya hanya seminar akademik. – Gambar The Malaysian Insider, 25 Mei, 2014.  

Pihak berkuasa agama Selangor yang merupakan penganjur bersama seminar menghentam agama Kristian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) awal bulan ini mengambil sikap berdiam diri dan menyalahkan kembali institusi pendidikan itu dengan mengatakan mereka tidak terlibat dengan tema atau panelis yang dijemput.

Sumber daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberitahu The Malaysian Insider walaupun seminar itu merupakan kerjasama antara UiTM dan Mais, semuanya diputuskan oleh universiti itu.

“Pihak berkuasa universiti yang membuat keputusan tentang aturcara, jemputan dan panel penceramah,” kata sumber itu.

Mais juga mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang kenyataan berhubung seminar itu, tambah sumber itu lagi. Kenyataan yang dipaparkan di laman sesawang Mais menyatakan seminar berhubung kalimah Allah dan Kristiologi itu bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Islam mengenai isu kalimah Allah.

Selain itu, sumber juga berkata buku "Pendedahan Agenda Kristian" yang diedarkan kepada peserta seminar itu sudah lama diterbitkan.

“Ia hanya disebarkan kepada masyarakat Islam,” kata sumber itu, walaupun buku itu turut diberikan kepada peserta Kristian yang hadir di seminar itu.

Beliau turut mendedahkan bahawa universiti berkenaan yang meminta Mais untuk memberikan buku itu sebagai bahan edaran  kepada peserta seminar. Selepas kritikan berhubung seminar itu dan penafian pihak berkuasa gereja Indonesia dua penceramah bukanlah bekas paderi dan biarawati, penaja program berkenaan mengatakan mereka menyangka ia merupakan program akademik dan tidak sedar kandungannya digunakan untuk menghentam Kristian.

Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pihaknya hanya memberikan tajaan publisiti dari segi hebahan media sahaja dan tidak tahu-menahu tentang kandungan seminar 6 Mei itu secara terperinci. Beliau berkata, Karangkraf sebagai 'media partner' tidak ragu-ragu untuk memberikan persetujuan, kerana yakin apa sahaja majlis ilmu yang datang daripada UiTM atau mana-mana institusi pendidikan lain akan bersifat akademik.

"Pensyarah (UiTM) datang berjumpa kami meminta promosi untuk liputan media. Kami jangkakan itu program akademik, jadi kami sokong sebarang yang bersifat akademik.
"Karangkraf tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran, tetapi hanya sebagai rakan penaja. Kami fikir majlis ilmu itu selamat disebabkan ia program universiti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Hussamuddin berkata, Karangkraf juga sebelum ini sering bekerjasama dan menaja aktiviti serta program lain yang dijalankan di UiTM.

"Apa-apa yang terjadi dalam kandungan seminar itu di luar kawalan kami," katanya.
Menurut buku cenderamata program itu, selain Karangkraf, seminar pada 6 Mei lalu itu juga dianjurkan bersama oleh Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan sokongan Utusan Malaysia, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Pantai Bharu Group of Companies.
Sementara itu, syarikat korporat Zikay Group ketika dihubungi enggan mendedahkan penglibatannya dengan seminar tersebut.

"Ya, kami ada menaja program itu, tetapi bentuk tajaan dan butirannya kami tidak akan dedahkan," kata pegawai perhubungannya.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pantai Bharu Group of Companies, Datuk Shamsudin Nor tidak dapat mengulas lanjut kerana berada di luar negara dan hanya akan pulang hujung bulan ini. Pada Khamis, alumni universiti itu mengatakan mereka tidak sedar tentang seminar itu.

UiTM semenjak program itu enggan mengulas kerana seminar itu kini menjadi kes polis selepas beberapa laporan polis dilakukan di Selangor dan Sarawak. Penganjur bersama lain juga tidak dapat dihubungi. Persidangan Biskop Indonesia mendedahkan penceramah seminar, Insan L S Mokoginta yang mendakwa dirinya paderi Katolik sebelum memeluk Islam pada tahun 1976 adalah palsu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Eksekutif Persidangan Biskop Indonesia, Paderi Edy Purwanto yang mengakui pihaknya tidak mempunyai maklumat tentang Mokoginta. Mokoginta berucap dengan tajuk “Ancaman Kristianisasi” di seminar itu mendakwa "setiap pengikut Jesus perlu memeluk Islam, jika tidak dianggap menderhaka”.

Purwanto turut mengesahkan seorang lagi penceramah, Irena Handono yang mendakwa pernah menjadi biarawati Katolik di Indonesia, juga tidak benar kerana beliau tidak melengkapkan pengajiannya. Katanya, hasil semakan gereja Indonesia mendapati Irene pernah menyertai Jemaah Biarawati Ursulin, tetapi hanya sebagai rahib pelatih untuk tempoh seketika.

Antara yang turut dicurigai dalam seminar itu adalah Prof Dr Menehim Ali yang dikhabarkan Pakar Kristologi Universiti Bandung seperti yang tertera pada buku aturcara program. Tidak dapat dipastikan jika Menehim menggunakan nama lain kerana Bernama melaporkan ahli akademik itu daripada Universiti Airlangga, Surabaya.

Di seminar itu, beberapa penceramah, antara lainnya, turut memberi amaran kepada orang Islam mengenai wujudnya ancaman gerakan paderi Kristian yang datang ke Malaysia dan menyamar dengan tujuan untuk memurtadkan orang Islam secara halus. – 25 Mei, 2014. (TMI)

1 comment:

Anonymous said...

ORANG KRISTIAN TIDAK AMBIL PEDULI PUN ...!!! orang kristian tahu dalam pada dikutuk-kutuk itu, agenda mereka untuk merosakkan melayu dan Islam melayu berjaya juga ... dilakukan secara senyap-senyap dengan restu pemimpin-pemimpin melayu juga yang telah dirasuah....yang bising adalah orang melayu yang beragama Islam ... menyalahkan anatara satu sama lain kerana DENGKI, IRIHATI, DAN UNTUK MEMBODEK UNTUK MEMPEROLEHI HABUAN ..........umno kan????

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails