Monday, May 19, 2014

Seminar Burukkan Kristian, Bukan Paderi Pun Mengaku Bekas Paderi?

 Seminar yang membangkitkan kemarahan banyak pihak kerana tiada pakar Kristianiti dijemput menyertai seminar itu untuk mempertahankan agama Kristian. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Mei, 2014. Seminar yang membangkitkan kemarahan banyak pihak kerana tiada pakar Kristianiti dijemput menyertai seminar itu untuk mempertahankan agama Kristian. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Mei, 2014. 

Dakwaan penceramah di seminar yang diadakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) beliau adalah bekas paderi Katolik yang memeluk Islam adalah tidak benar, kata gereja Indonesia yang mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insider. Menggunakan nama Insan L S Mokoginta, penceramah itu memberitahu kira-kira 1,000 pelajar di seminar bersentimenkan agama pada 6 Mei lalu, beliau adalah bekas paderi Katolik yang memeluk agama Islam pada 1976.

Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif Persidangan Biskop Indonesia, Paderi Edy Purwanto mendedahkan beliau tidak mempunyai maklumat mengenai Mokoginta. Ketika ditanya lanjut adakah ia menunjukkan Mokoginta tidak pernah menjadi paderi Katolik, Purwanto berkata, “ya” dalam satu emel yang dikirim kepada The Malaysian Insider.

Mokoginta bercakap mengenai “Ancaman Kristianisasi” di seminar itu dan berkata “setiap pengikut Jesus perlu memeluk Islam, jika tidak ia adalah pengkhianatan kepadaNya”. Pemeriksaan yang dilakukan kepada seorang lagi penceramah, Irena Handono, yang mendakwa pernah menjadi biarawati Katolik, juga menunjukkan ia tidak benar, kerana beliau tidak melengkapkan “pengajiannya”.

Purwanto berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh gereja Indonesia mendapati Irene menyertai Jemaah Biarawati Ursulin sebagai rahib pelatih bagi tempoh sekejap.

“Dia tidak pernah tamat.
“Selepas itu kami tidak tahu di mana dia mendapat ‘pendidikan’, sehingga sekarang di mana dia bercakap di seminar yang kebanyakannya memperkecilkan Kristianiti, terutama gereja Katolik,” kata Purwanto.

Beliau berkata, pada mulanya penampilan Irene dalam seminar awam kerap dan popular, tetapi kini popularitinya agak turun naik. Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Profesor Dr Muhamad Rahimi Osman enggan memberi komen ketika ditanya mengenai dua penceramah Indonesia itu.

“Kes itu dalam siasatan polis jadi saya tidak akan komen,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Seorang lagi pencemarah yang dicurigai di seminar itu ialah Prof Dr Menehim Ali, yang disenaraikan sebagai “Pakar Kristologi Universitas Bandung” dalam kertas program UiTM. Pencarian menerusi Google tidak menemui universiti itu. Apa yang muncul adalah senarai universiti di kota Bandung.
Bagaimanapun, tidak jelas jika Menehim menggunakan nama lain kerana menerusi laporannya dalam seminar itu, agensi berita nasional Bernama mengenal pasti beliau sebagai Prof Dr Menachem Ali, seorang ahli akademik Pengajian Filologi Islam dan Semitik di Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur.

Pada seminar itu, Menehim turut dilaporkan berkata kalimah Allah hanya patut digunakan oleh umat Islam kerana ia berasal daripada Al-Quran dan tidak pernah disebut dalam kitab Bible asli. Ramai yang marah apabila pihak berkuasa tidak mengambil tindakan menyiasat penganjur dan penceramah seminar itu.

Di seminar mengenai penggunaan kalimah Allah dan Kristologi itu, beberapa penceramah memberi amaran kepada umat Islam mengenai ancaman Kristianisasi. Beberapa laporan polis dibuat, di Selangor dan Sarawak. Jumaat lalu, polis merakamkan kenyataan dua pengadu dari Selangor.

Pengadu berpendapat seminar itu tidak lebih daripada sesi membelasah Kristian dan persoalan lanjut ialah mengapa universiti awam dibenarkan menganjurkan seminar seumpama itu di premis mereka.
Mereka berkata, tidak ada pakar Kristianiti dijemput menyertai seminar itu untuk mempertahankan agama Kristian.

UiTM sebelum ini berkata, seminar itu dianjurkan untuk meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai isu yang hangat membahaskan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Penceramah juga memberi amaran mengenai paderi Kristian yang menyamar dan dihantar ke Malaysia dalam pelbagai bentuk penyamaran untuk menarik dan memurtadkan umat Islam.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Abdul Karim Omar berkata “paderi yang menyamar” itu bekerja bersama kanak-kanak Islam sebagai jurulatih bola.
Salinan buku terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang memberi amaran kepada umat Islam tentang ancaman Kristianisasi dan didakwa evangelis di kalangan umat Islam di Malaysia, diedarkan kepada pelajar yang mengikuti seminar itu.

Pendedahan Agenda Kristian memberi amaran kepada umat Islam untuk berhati-hati dengan helah Kristian untuk mempengaruhi umat Islam daripada kepercayaan mereka. Buku itu juga mendakwa sebab utama berlakunya murtad di kalangan umat Islam adalah kerana Kristianisasi.

Satu lagi buku bertajuk “Kewajipan untuk mengekalkan Kesucian Nama Allah” menjelaskan kepada umat Islam mengapa orang bukan Islam, khususnya orang Kristian, tidak boleh dibenarkan menggunakan perkataan Allah.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan Mais dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Pantai Bharu Group of Companies. – 19 Mei, 2014. (IMI)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Inilah dasar kerajaan Malaysia yang tempang, tidak mahu melaksanakan Islam sepenuhnya secara syumul, seperti sistem pendidikan Islam, perundangan Islam, anti rasuah sebenarnya dan lain-lain.

Kesan-kesan daripada kecuaian itu, lahirlah berbagai jenayah yang tidak terkawal, rogol, rompak, rasuah termasuk murtad. Untuk menutup kesalahannya, mereka menyalahkan pihak lain. Tuduh  pihak Kristian, pihak pembangkang dan lain-lain. Siapa sebenarnya yang baling batu sembunyi tangan, sehingga lahirnya dakwaan bukan paderi pun mengaku bekas paderi?

Pihak berwajib perlu siasat segera, dedahkan keputusan kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment