KUALA LUMPUR:
PAS menyeru pelbagai pihak khususnya Umno yang menunjangi pemerintahan
negara ini supaya tidak hanya terkejut dengan kejadian rogol membabitkan
38 lelaki di Ketereh, Kelantan sebaliknya mencari jalan ke arah
penyelesaian yang lebih holistik.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, kejadian tersebut membuktikan betapa penjenayah tidak gentar mahupun gerun terhadap sistem perundangan yang ada kini.
"Keberkesanan sistem perundangan yang ada semakin diragui apabila
kadar jenayah dalam negara tidak berhenti meningkat," katanya dalam satu
kenyataan media.
Beliau menambah, kes rogol, penderaan seksual, pembuangan bayi,
penderaan kanak- kanak, peningkatan ketagihan dadah dan arak di kalangan
remaja adalah gejala yang wajib diberi perhatian semua pihak.
Menurutnya, walaupun manusia berhadapan dengan ketakutan, kebimbangan
terhadap keselamatan diri, anak- anak serta harta benda namun
kebanyakan manusia masih merasakan undang-undang ciptaan sendiri lebih
hebat meskipun ketidakberkesanannya semakin terserlah hari ke hari.
Ustaz Tuan Ibrahim kesal kerana masih wujud sesetengah pihak yang
enggan mengakui bahawa undang-undang ciptaan manusia telah gagal
menakutkan penjenayah meskipun negara kini berhadapan dengan kemelut
kerosakan akal, harta dan keturunan yang sangat serius.
Manusia, ujarnya tetap berdegil untuk memilih peraturan lain yang
dianggap hebat dengan menolak undang-undang yang diturunkan Allah SWT.
"Kes dua pelajar dirogol oleh 38 lelaki di Ketereh, Kelantan
menggemparkan pelbagai pihak. Kejadian malang yang menimpa pelajar
tersebut seharusnya membuka mata pemimpin negara khususnya dan rakyat
umum bagi melihat betapa teruknya keadaan masyarakat hari ini.
"Masyarakat kini melihat kejadian jenayah rogol, dadah, bunuh, kecurian dan ragut sebagai berita semasa yang biasa.
"Bahkan kejadian di Ketereh itu pun kalau kejadian hanya melibatkan
seorang remaja lelaki merogol seorang remaja perempuan, masyarakat tidak
akan merasai kejadian pelik," kesal beliau.
Menurut beliau, Allah SWT telah menurunkan sistem perundangan bagi
menyelamatkan agama, akal, harta, maruah serta zuriat dan keturunan
manusia. Sehubungan itu, sistem perundangan Islam perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan masyarakat dari penjenayah.
Mengulas kejadian yang berlaku di Ketereh itu, beliau berkata,
walaupun suspek tidak boleh diadili menurut hukum hudud jika sistem
perundangan Islam dikuatkuasakan ekoran wujud pelbagai keraguan, namun
suspek boleh diadili di bawah perundangan takzir.
"Hukum takzir boleh lebih keras dari hudud sekiranya mahkamah melihat
wujudnya keperluan menjatuhkan hukuman yang lebih berat," ujarnya.- HARAKAHDAILY, 30/5/2014
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pihak berwajib dan semua pihak, sila fikir balik pengambilan sistem perundangan Islam atau 'hudud' sebagai faktor pengurangan jenayah untuk jangka panjang di Malaysia..
Lihat sebelum ini..
No comments:
Post a Comment