Tuesday, May 06, 2014

Umno Sokong Hudud Berasas Kerjasama Politik? -Nik Amar


'Tiada agenda sulit PAS, Umno sebalik isu hudud'
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan tiada sebarang agenda sulit antara PAS dan Umno di sebalik persefahaman kedua-dua parti itu mengenai isu hudud.

Menurutnya, tindakan PAS berkompromi dengan Umno tidak lebih untuk merealisasikan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) yang tertangguh selama 20 tahun lalu, lapor Sinar Harian hari ini.

“Itu (dakwaan) mengarut, saya menafikan ada pakatan (sulit”) dan tuduhan tidak berasas, perbincangan Kelantan dan Pusat atas dasar hudud sahaja, tidak ada benda lain. Tidak terlintas untuk masuk BN.
“Apa salahnya sebagai orang Islam kita bekerjasama dalam menuntut hak ummah, lepas ni kita lawan balik, malah kita turun semasa demonstrasi perlaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) walaupun ada perbincangan (bersama pusat) mengenai hudud, tindakan ini sangat jelas,” katanya seperti dilapor akhbar itu.

Akhbar harian itu melaporkan sebelum ini sebuah blog pro Pakatan Rakyat mendakwa Umno sedia menyokong perlaksanaan hudud PAS negeri itu berasaskan kerjasama politik dan tanggungjawab bersama dalam konteks Islam.

Laporan itu menyebut tulisan itu mendakwa kerjasama yang tidak diketahui kerajaan Kelantan membawa dua parlimen PAS ke jawatan bertaraf menteri sekiranya projek hudud dibantu Umno berjaya dilaksanakan.

Akhbar itu melaporkan Mohd Amar berkata sejarah membuktikan PAS boleh berkompromi dalam isu berkaitan tuntutan agama dan kepentingan ummah seperti memberi pandangan dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara dan bekas presiden Allahyarham Fadhil Nor sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad memperjuangkan isu Palestin.

Hati-hati, waspada

Mohd Amar yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Syariah (II) 1993 berkata pengundi tidak mudah terpengaruh dengan satu-satu isu, sebaliknya mereka akan membuat pertimbangan secara keseluruhan.

Laporan itu juga menyebut beliau berkata PAS akan berhati-hati dengan isu hudud supaya tidak terperangkap dan menggerakkan agenda hudud dengan tersusun demi pelaksanaannya berkesan pada masyarakat.

"Apa niat Umno serah pada Allah, kita akan berwaspada. Kalau orang tawar, kita sambut. Sebelum ini, kita beritahu rakyat Umno halang, tiba-tiba mereka hulur tangan.
"Kalau kita tak ambil peluang, rugi. Kita akan ambil risiko dan merancang strategi. Jika pandai kita untung, jika tidak, rugi.
"Masing-masing rebut peluang. Jika kita pergi dengan perancangan teratur, saya yakin tidak akan diperangkap dengan permainan," katanya.

Sementara itu, dalam laporan yang lain, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pihaknya sedang giat melaksanakan program memberi penjelasan mengenai hukum hudud dalam usaha meningkatkan kefahaman kepada 240,000 ahlinya.

“Jika sebelum ini, mereka hanya tahu hudud pada peringkat asas sahaja, kita tingkatkan kesefahaman mereka agar tidak timbul lagi sangsi dan pelbagai persoalan yang bermain di minda mereka.
“Kami yakin keseluruhan ahli Umno akan memahaminya secara mendalam dalam tempoh terdekat memandangkan sambutan hangat pada majlis yang dianjurkan di peringkat bahagian,” katanya.(MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails