Monday, May 26, 2014
Umpan Baru PRK T/Intan: BN Tawar Universiti, Dyana Jawab..
Calon BN Datuk Mah Siew Keong sewaktu mengumumkan manifesto beliau hari ini menawarkan sebuah universiti untuk pengundi Teluk Intan sekiranya berjaya dipilih menjadi anggota Parlimen kawasan itu.
Manifesto yang bertemakan pembangunan itu turut menawarkan usaha untuk menyenaraikan Menara Condong Teluk Intan sebagai tapak warisan dunia bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Ia adalah sebahagian janji Mah untuk merancakkan pembangunan komuniti dan sektor pelancongan di Teluk Intan.
"Adalah hasrat saya untuk mendapatkan satu universiti di Teluk Intan untuk anak-anak muda kita.
"Saya berjanji akan bekerja kuat untuk memastikan perkara ini dapat dilaksanakan," katanya pada sidang media pagi ini.
Beliau mengakui usaha untuk menyenaraikan Menara Condong sebagai tapak warisan Unesco agak mencabar kerana ia akan memakan masa dan ia juga memerlukan kelulusan daripada tujuh kementerian untuk tujuan itu.
"(Penyenaraian) Menara Condong ini bukan kerja yang mudah, tapi ia adalah tentang usaha.
"Kita perlu dapat kelulusan tujuh kementerian," katanya.
Selain itu, beliau turut menawarkan satu stadium dan lebih banyak padang futsal, membina lebih banyak zon WiFi, dan mentransformasikan Teluk Intan sebagai pusat pertanian dan pusat untuk pencinta makanan di negeri Perak.
Beliau juga turut berazam membina lebih banyak rumah mampu milik untuk penduduk Teluk Intan di samping menyelesaikan masalah-masalah setempat seperti perparitan dan lampu-lampu jalan.
"Manifesto ini adalah ringkas, bukan benda-benda besar, namun ia adalah penting," katanya pagi tadi.
Pada masa sama katanya, penduduk Teluk Intan perlu menggunakan peluang pilihan raya kecil ini untuk memastikan pembangunan di kawasan itu dapat dilaksanakan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kerajaan untuk berkempen dan memberi perhatian khusus buat Teluk Intan.
"Suka tak suka, ini adalah satu pilihan raya kecil dan saya terima kasih banyak-banyak kepada pemimpin yang datang ke Teluk Intan dan saya ambil kesempatan untuk berbincang dengan mereka," katanya.
Dyana Sofya
Sementara itu, Penduduk Teluk Intan dikatakan kecewa kerana janji Kerajaan BN membina sebuah sekolah menengah di sini gagal ditunaikan. Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DAP Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud berkata, projek Sekolah Menengah Kampung Bahagia sehingga kini menjadi tanya walaupun peruntukan telah diberi pada tahun 2012.
Katanya, sepatutnya sekolah menengah itu yang bernilai RM27.2 juta siap pada tahun ini tetapi sehingga saat ini papan tanda projek pembinaan sekolah itu pun tidak kelihatan. Sebaliknya calon BN Datuk Mah Siew Keong hari ini menawarkan untuk membina sebuah universiti di Teluk Intan jika dipilih sebagai Ahli Parlimen.
“Baru-baru ini BN telah melancarkan sebuah lebuhraya dengan kos RM5 bilion dan berjanji untuk menaik taraf kemudahan jalur lebar jika mereka menang.
“Saya ingin bertanya, bagaimana pula dengan projek sekolah di Kampung Bahagia?
“Peruntukan telah diberikan sebanyak RM27 juta pada tahun 2012. Sehingga kini papan tanda pun tidak ada,” katanya dipetik Roketkini.
Menurut Dyana, pada 2013, mendiang Seah Leong Peng telah membangkitkannya di Parlimen.
Katanya, pihak kerajaan berjanji akan menyiapkannya tahun ini.
“Kita mahu tanya, bila nak buat yang ni dulu?, sibuk umum pelbagai projek, tapi yang lain terbengkalai,” kata beliau.
Pada 11 Februari 2012 Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan peruntukan RM27 juta untuk pembinaan sekolah itu termasuk pelbagai projek naik taraf di daerah Hilir Perak.
(IH)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment