KOTA BHARU: Sebanyak 23 NGO di sini bergabung membentuk Himpunan Kasih bagi mempertahankan akidah Ummu Habibah daripada dikembalikan kepada ibunya beragama Hindu.
Pengerusinya, Abu Samah Hassan berkata, kanak-kanak itu membesar dalam suasana Islam perlu dipertahankan akidahnya oleh umat Islam. Katanya, dibimbangi kesan psikologi akan berlaku terhadap anak tersebut sekiranya diserah kepada ibunya yang beragama Hindu.
“Sejak dari awal lagi kami mengikuti kes yang berlaku terhadap Riduan (Gambar kanan) dan kami tahu kehidupannya di sini. Habibah dibesarkan bapanya dengan penuh kasih sayang.
“Sepatutnya mahkamah sivil menghormati perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah yang dianggap lebih berhak dalam kes dihadapi Riduan Abdullah,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini.
Mahkamah Tinggi Ipoh Jumaat lepas mengarah seorang kanak-kanak Muslim diserah kepada ibunya beragama Hindu. Hakim Lee Swee Seng memberi tempoh sehingga 6 Jun ini untuk menyerah Ummu Habibah, 6, dan sekiranya tidak berbuat demikian bapanya dianggap menghina mahkamah.
Riduan, 45 juga diperintah membayar RM30,000 sebagai kos mahkamah dan RM5,000 kos mengesannya selepas waran tangkap dikeluarkan. Beliau tidak hadir pada perbicaraan itu pada 30 Mei lalu atas faktor keselamatan. Beliau diwakili peguam Anas Abdullah.
Riduan nama asalnya K Patmanathan menganut Islam pada 11 Mac 2009. Kemudian ketiga-tiga anaknya Ummu Habibah (Prasana Diksa), Abu Bakar (Karan Dinish), 16 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 17 turut diIslamkan.
Ekoran itu pada 29 September 2009 Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak jagaan kekal selepas Riduan mengislamkan ketiga-tiga anaknya. Bagaimanapun hampir enam bulan kemudian iaitu 11 Mac 2010 Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh pula memutuskan hak penjagaan tiga beradik itu diserahkan kepada bekas isteri Riduan, Indira Gandhi.
Ummu Habibah tinggal bersama Riduan sejak berusia 11 bulan. Abu Samah juga berkata, Himpunan Kasih akan menganjurkan solat hajat dan majlis penerangan ke seluruh negara bagi menjelaskan isu akidah seperti dihadapi Riduan. - HARAKAHDAILY 3/6/2014
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pertembungan keputusan hakim seperti ini pernah berlaku dalam peristiwa terkenal 'Tragedi Natrah' pada 1950 di Singapura, semasa masih dalam Persekutuan Tanah Melayu. Dalam peristiwa berdarah itu orang Islam/Melayu segenap negeri di semenanjung datang ke Singapura membantah keputusan mahkamah tersebut.
Natrah nama asalnya Bertha Hertogh diberi oleh ibunya kepada Che Aminah ketika berlaku pendudukan Jepun di Indonesia, di mana ayahnya seorang tentera yang tidak mampu lagi memelihara anaknya. Peristiwa yang melibatkan Prof Dr Burhanuddin (bekas Presiden PAS) dipenjara. Aziz Sattar (pelakon terkenal yang meninggal dunia baru-baru ini) juga ditahan waktu itu.
Keputusan hakim yang merampas Natrah daripada ibu angkatnya, Che Aminah selepas menganut Islam hampir sama dengan keputusan hakim yang berlaku kepada Ummu Habibah seperti di atas. Wajarkah walaupun puluhan tahun Malaysia merdeka, undang-undang penjajah itu masih terpakai hingga sekarang?
1 comment:
Kita ucapkan "tahniah" kpd melayu umno celaka haramjadah yg bodoh dulu, kini dan selamanya!! Kerana mereka ini umno terus memerintah dan terus menggunakan undang2 penjajah laknat!!! Tak payah cakap pasal dosa dan pahala kpd puak2 melayu umno celaka ni kerana tak terasa di dalam hati mereka yg telah mati!!!
Post a Comment