Thursday, June 19, 2014

Bersama Presiden PAS, Dari Istanbul Ke KL

Oleh 
DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR

HATI ini sebak gembira melihat akhirnya Tuan Guru dapat pulang ke tanah air setelah tiga minggu beliau bersama saya berada di bumi bekasan Constantinople yang dibebaskan oleh Muhammad al-Fateh pada 1453 Masehi.

Hati ini meruntun bukan kerana merasa berat berpisah dengan kota bersejarah Kostantiniyye (juga dikenali sebagai Islambol, Dersaadet, Istanbul) yang sarat dengan jutaan pengkisahan dan sejarah, tetapi saya terkenangkan santunan dan  persahabatan dengan rakan-rakan di Turki.

Ketika ini hati saya teringatkan sabda Rasulullah SAW:
  • Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak boleh tidur.” (Hadis riwayat Muslim)

Mereka turut sama berada di hospital Medipol Universite Hastanesi di Bagcilar, Istanbul menemani saya setiap hari terutamanya Brother Harun dan anaknya Mus'ab, rakannya Mus'ab Abu Syaaban, pemandunya Abdullah Oflas, Ummit dan Mustafa, Yilmaz dan Abdus Samat dan lain-lain yang memberikan kata-kata semangat, bekalan berdepan dengan hari yang tidak diketahui hujungnya, menghibur hati yang berjauhan daripada sahabat seperjuangan di Malaysia.

Bau kahve dan çay Turki memenuhi ruang bicara kami di kafeteria Medipol bersama sepiring lokum, halva, simit; dengan kadang kala kami jenuh berbicara mauduk semasa yang menjerebu ekonomi – sosio – politik – kehidupan beragama di Turki, berbicara soal etno-politik yang tersepit di antara dua benua – Asia dan Eropah yang dipisahkan oleh Selat Bosphorus dengan kesibukan kapal dagang di Laut Marmara, kekerasan neo-militari yang merombak resam gerakan Islam di Turki.

Malah sekali sekala kami mencuba untuk menghangatkan bicara dengan acahan dan prognosis tertentu untuk merungkai kompleksiti masyarakat yang satu masa dahulu adalah sebuah Kerajaan Byzantine dan akhirnya Kerajaan Uthmaniyyah. Ternyata bicara-bicara sedemikian mewajarkan satu bicara dan penulisan khusus, kritis, penuh dengan saranan pro-kontra dan provokatif.

Tidak mampu untuk saya senaraikan setiap orang yang menziarahi kami sepanjang di sini – semuanya ada – tua dan muda. Rakan-rakan dari negara Arab, benua Afrika, Pakistan, Eropah tidak jemu bertandang mendoakan kesihatan berpanjangan. Manakala rakan-rakan di Turki khususnya, Duta dan pihak Kedutaan Malaysia, pakar perubatan, rakan ahli dan pimpinan parti politik dalam negara kita, tokoh korporat dan nasional, wartawan yang tidak jemu menghubungi saya, anak-anak muda pelajar kampus universiti dari beberapa negara, semuanya membawa mesej yang sama:

“Semoga Tuan Guru bertambah sihat dan selamat pulang ke tanahair tercinta”.

Sekali sekala hati kami terhibur dengan susah upaya kami berkomunikasi, dalam kalangan pemandu teksi, pekerja hospital, kedai makan, pazari dan sebagainya yang tidak boleh berbicara dalam bahasa Inggeris, Arab apatah lagi bahasa Melayu. Sesekali kesilapan dan salah faham yang berlaku menjadi hiburan hati kecil kami yang tidak menentu di sini. Tetapi itulah rakyat Turki – mereka bangga dengan bahasa mereka, tidak apologetik, tidak longlai dan tidak inferior, bekerja keras sehingga mampu menjadi kuat di benua Eropah. Diaspora rakyat berketurunan Turki di serata Eropah dan Amerika Syarikat menjadi testimoni kekuatan mereka, sungguhpun kepelbagaian fikrah mereka sangat berwarna warni.

Sepanjang tempoh mendapat rawatan, pemulihan dan kerehatan, kadang kalanya kami berkunjung menatap kehijauan alam dan warna-warni kelopak bunga yang sungguh mengasyikkan di bawah jagaan İstanbul Büyükşehir Belediyesi, terkhususnya di Emirgan Park di daerah Sariyer, Istanbul dan sepanjang pesisir yang menghadap Bosphorus dan geografi Turki - Asia. Sepanjang masa itu juga Tuan Guru akan berterusan berbicara persoalan semasa yang mewarnai politik dalam negara dan dunia, berbicara tentang ayat-ayat al-Quran dan sirah, berkongsi analisa dan sebagainya.

Bagi saya, semuanya saya kutip-dengar dan menjadi ilmu yang sangat berguna kepada saya. Kesimpulan saya, ternyata bara perjuangan yang ada pada Tuan Guru tidak pernah malap!

Sahabat-sahabat yang berada di tanah air juga begitu banyak membantu menguruskan keluarga kami yang berada Malaysia; termasuklah kalangan doktor pakar yang menghubungi kami dan memberikan pandangan mereka. Mana kala doa dari seluruh ahli, penyokong dan rakyat Malaysia amat kami hargai.

Terimakasih semua. Hanya Allah SWT yang boleh membalas segala kebaikan yang diberikan. Semoga kita semua mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. - HARAKAHDAILY 19/6/2014

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah Setiausaha Politik Presiden PAS
*(Coretan ketika dalam perjalanan dari Istanbul ke Kuala Lumpur)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails