Friday, June 06, 2014

Ini Pembela Pusat Seks Terbesar Di Asia. Tapi.. Syabas Singa Betina!









SEBAHAGIAN pekerja seks yang menyertai tunjuk perasaan di kawasan pelacuran Dolly di Surabaya semalam.- AFP

SURABAYA - Lebih 1,000 orang pekerja seks di sini mengadakan tunjuk perasaan semalam bagi membantah rancangan pemerintah untuk menutup sebuah kawasan pelacuran yang merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Kawasan pelacuran itu yang dikenali sebagai daerah Dolly tidak pernah diganggu oleh pihak berkuasa sejak beberapa dekad lalu. Bandar raya ini merupakan kota metropolitan kedua terbesar di Indonesia. Namun, Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini berikrar akan menutup lokasi tersebut menjelang 18 Jun ini.

Nama Dolly berasal daripada seorang ibu ayam warga Belanda yang menguruskan sebuah rumah pelacuran di lokasi itu semasa pemerintahan penjajah di Indonesia. Bagaimanapun, ramai wanita yang bekerja di daerah Dolly memberitahu, mereka akan hilang mata pencarian jika lokasi tersebut ditutup.

Seorang wartawan agensi berita AFP yang berada di lokasi kejadian semalam berkata, kira-kira 1,200 pekerja seks berarak di sepanjang daerah tersebut. Mereka kemudian menulis surat bantahan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia.

"Wanita-wanita itu tiada pilihan kecuali bekerja sebagai pelacur untuk menyara diri sendiri dan keluarga masing-masing," kata seorang aktivis tempatan, Anisa.
"Mereka tidak dapat mencari pekerjaan lain kerana kurang kemahiran dan berpelajaran rendah. Mereka tiada pilihan tetapi bekerja di sini," tambahnya.

Tri sebelum ini berjanji memberikan bantuan kewangan kepada pekerja-pekerja seks tersebut apabila pusat pelacuran tersebut ditutup. Beliau juga berkata, pihak berkuasa tempatan juga berjanji akan mengajar kemahiran baharu seperti menghasilkan kraftangan kepada mereka. - AFP
Risma Targetkan Tutup Pelacuran Dolly Sebelum Bulan Puasa. www.islampos.com.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Budaya maksiat tidak bertamadun warisan penjajah Belanda itu masih lagi ada pihak-pihak yang mempertahankan. Tidak malukah, bahawa Indonesia negara umat Islam terbesar di dunia, tidak mampu melaksanakan Islam yang syumul di negaranya sendiri? Tiada ruang untuk rakyatnya beribadat (amar makruf nahi mungkar) di negaranya sendiri?

Weblog ini sebagai mewakili umat Islam Malaysia mengucapkan syabas kepada Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini menyasarkan untuk menutup pusat pelacuran di bandar raya itu (Dolly), sebelum Ramadan tahun ini. Syabas kepada beliau yang memperjuangkan makruf, menolak mungkar sehingga digelar 'singa betina' dalam melawan kejahatan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails