Monday, June 23, 2014

Isis Terus Mara Ke Barat, Tawan Beberapa Bandar, Walau Iraq Dibantu AS

Amerika Pun Geram ISIS

Militan kumpulan negara Islam Iraq dan Syam (ISIL)

BAGHDAD - Militan kumpulan negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) mara ke barat Iraq selepas menawan sebuah lintasan sempadan dengan Syria. Beberapa penduduk tempatan berkata, ISIL turut menguasai bandar Rawa dan Ana selepas menawan lintasan sempadan tersebut, Al-Qaim kelmarin.

Kerajaan Iraq menyatakan, tenteranya membuat pengunduran taktikal dari kedua-dua bandar itu namun perkembangan tersebut membolehkan ISIL membuka laluan ke negara jiran Iraq, Syria.
ISIL yang merupakan serpihan kumpulan Al-Qaeda turut menawan sebahagian besar kawasan di sepanjang lembah Sungai Euphrates di Syria.

Kumpulan itu yang mahu menubuhkan khalifah Islam di Iraq dan Syria turut menjadi antara kuasa utama menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad dalam perang saudara di Syria. Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) mahu negara-negara Arab meningkatkan tekanan terhadap pemimpin Iraq supaya menyegerakan pembentukan kerajaan inklusif yang tergendala sejak pilihan raya pada April lalu.

"Kami memberi Iraq peluang untuk membina demokrasi sekali gus merentasi perbezaan mazhab demi masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka," kata Presiden Barack Obama dalam satu wawancara bersama stesen televisyen AS, CNN Jumaat lalu.
"Namun, apa yang kami lihat amanah itu telah dikhianati," tambahnya.

Kejatuhan lintasan sempadan Al-Qaim menyebabkan tentera Iraq cuma menguasai satu daripada tiga lintasan sempadan rasmi dengan Syria. Lintasan sempadan ketiga dikuasai oleh tentera Kurdish. Di beberapa tempat lain di Iraq pula, tentera kerajaan bertempur dengan militan ISIL termasuk melancarkan serangan udara ke bandar Tikrit yang dikuasai ISIL. Beberapa penduduk bandar tersebut memberitahu sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam serangan udara itu.

Sebelum ini, Obama menawarkan untuk menghantar 300 penasihat tentera AS ke Iraq bagi mengukuhkan tentera negara itu. Namun, Presiden berkenaan menolak melancarkan serangan udara ke atas ISIL seperti yang diminta oleh Baghdad. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails