Friday, June 13, 2014

Kes Cerai: Tuan Guru Nik Aziz Hubungi Abby


PRIHATIN MURABBI UMMAH... Tuan Guru Nik Abdul Aziz menghubungi Abby Abadi bertanyakan perkembangan terkini kes cerai artis tersebut dan menasihati beliau agar bersabar.

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesedihan di atas berita perceraian Abby Abadi dan suaminya Muhammad Noor Farhan Che Bakar.
Ketika menghubungi Abby pagi tadi di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru dekat sini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menasihati Abby supaya bersabar ketika menghadapi dugaan hidup apatah lagi setelah menyertai jemaah Islam.

Beliau menghubungi Abby sejurus setelah membaca berita berkenaan perceraian Abby dan suaminya di akhbar, hari ini. Tuan Guru ketika ditemui Harakahdaily mengakui turut berdukacita di atas perceraian kali kedua artis itu.

“Sewaktu majlis perkahwinannya sebelum ini saya sudah merasa sedih kerana tidak dapat hadir, hari ini saya merasa sedih kerana beliau telah bercerai,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun berharap Abby Abadi bersabar dengan ujian hidup yang ditempuhinya dengan berserah kepada Allah. Tuan Guru Nik Aziz berdoa semoga Abby tabah dalam menghadapi ujian hidup.

“Sebagai seorang yang telah bersama jemaah Islam, saya berharap semoga dia tabah dan biarlah ujian itu membuatkan dia semakin tabah,”ujarnya.

Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37 disahkan bercerai talak satu dengan suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Rabu. Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai yang dibuat Farhan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 9 Mei selaku defendan adalah sah mengikut rukun dan syarat yang ditetapkan.

Pasangan ini bernikah pada 9 Julai 2013 di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.
Abby sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan bersama pelakon Norman Hakim dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. - HARAKAHDAILY, 12/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails