Thursday, June 12, 2014

Komander Abu Sayyaf (Wanted AS500,000 -2009) Ditangkap

GAMBAR Khair selepas dia ditangkap di Manila, Filipina semalam.- AFP

MANILA - Pasukan keselamatan Filipina semalam menangkap seorang komander utama kumpulan militan Abu Sayyaf yang disenaraikan sebagai pengganas paling dikehendaki Amerika Syarikat (AS).
Komander berkenaan, Khair Mundos pernah mengaku menerima dana Al-Qaeda bagi membiayai serangan bom di seluruh Filipina.

Khair tidak melawan apabila anggota- anggota tentera dan polis menangkapnya di sebuah penempatan setinggan dekat lapangan terbang antarabangsa Manila di sini. Pihak berkuasa masih tidak pasti tujuan dia berada di Manila. Sebelum ini, pihak polis dan tentera memburu Khair kerana dia terlibat dalam beberapa insiden serangan bom dan penculikan.

Dia merupakan antara suspek pengganas berpangkat paling tinggi yang pernah ditangkap di negara ini sejak bertahun-tahun lalu. Ketua perisikan tentera, Mejar Jeneral Eduardo Ano berkata, penangkapan Khair memberikan tamparan hebat kepada Abu Sayyaf.

"Dia merupakan komander utama, pelatih tempur, pemimpin kerohanian dan perancang serangan bom dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan," kata Ano.

Pada tahun 2009, Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran sebanyak AS$500,000 (RM1.6 juta) untuk menangkap atau membunuh Khair. Menurut jabatan berkenaan, Khair pernah ditangkap pada tahun 2004. Namun, dia melarikan diri tiga tahun kemudian dan pernah mengaku menguruskan pemindahan dana Al-Qaeda kepada Abu Sayyaf bagi membiayai serangan bom di Filipina.

Dia merupakan antara pemimpin asal Abu Sayyaf selepas ramai komander kumpulan militan itu ditangkap atau dibunuh dalam serangan tentera Filipina dengan bantuan AS sejak lebih sedekad lalu.
Khair dipercayai pemimpin militan Abu Sayyaf di Pulau Basilan, selatan Filipina. Kumpulan Abu Sayyaf diasaskan pada tahun 1991 di Basilan yang terletak sekitar 880 kilometer dari sini. - AP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails