Keluarga Teoh Cheng Cheng, yang memeluk Islam 17 tahun lalu, kini berusaha mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalangnya daripada dikebumikan secara Islam. Pada asalnya, difahamkan keluarganya sudah menerima bahawa mayatnya akan dikebumikan secara Islam selepas membenarkan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) mengambil mayatnya semalam.
Namun hari ini, keluarganya mahukan mayatnya semula untuk dikebumikan mengikut agama Tao dan meminta bantuan daripada kerajaan negeri. Adun Pengkalan Kota, Lau Keng Ee berkata, ibu Cheng Cheng, Tan Mah Suan menemui Ketua Menteri Lim Guan Eng dan beliau petang ini bersama dengan beberapa exco, dan mereka bersetuju untuk memberikan bantuan guaman.
"Pasukan peguam yang akan membantu Tan adalah Gobind Singh Deo (MP Puchong), Ramkarpal Singh (MP Bukit Gelugor) dan S Raveentharan (bekas Adun Batu Uban).
"Mereka sedang mempersiapkan dokumen undang-undang dan akan memfailkannya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang esok," katanya dalam satu kenyataan.
Lau berkata, Tan menegaskan Cheng Cheng tidak pernah memeluk Islam, tetapi beragama Buddha sepanjang masa. Katanya, Tan menunjukkan MyKad dan sijil lahir anaknya sebagai bukti. Sementara itu, sepupu Cheng Cheng, Teoh Chew Choo berkata, teman lelaki Cheng Cheng yang juga seorang Islam, juga berharap Cheng Cheng disemadikan mengikut tradisi Tao.
"Ini keputusan dia. Kita juga perlu hormati kehendak teman lelakinya," katanya kepada The Malaysian Insider melalui telefon.
Dilaporkan sebelum ini, Cheng Cheng yang dikenali sebagai Nora Teoh Abdullah memeluk Islam 17 tahun lalu. Dia mempunyai empat orang anak yang berumur antara 17 hingga 20 tahun. Anaknya yang sulung dilahirkan hasil perhubungannya dengan seorang lelaki Cina.
Cheng Cheng, seorang pelayan berumur 38 tahun dilaporkan meninggal dunia Sabtu lepas selepas menggantungkan diri di rumahnya di Lebuh Macallum selepas bertengkar dengan teman lelakinya.
Mayat beliau sepatutnya disemadikan petang semalam mengikut adat Tao, tetapi dihentikan oleh pegawai Jaipp yang datang menuntutnya mayatnya.
Selepas perbincangan, keluarganya membenarkan Jaipp mengambil mayatnya. Exco agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim berkata semalam bahawa isu ini diselesaikan dengan baik dengan keluarganya menerima hakikat bahawa Cheng Cheng adalah beragama Islam. Apabila dihubungi hari ini, Malik berkata, dia tidak tahu kenapa perubahan ini berlaku kerana mereka tidak membantahnya ketika tindakan Jaipp semalam.
"Mayatnya masih di rumah mayat Pulau Pinang. Kami tidak boleh meneruskan pengebumiannya.
"Kami akan menunggu sehingga kes ini diselesaikan melalui undang-undang jika ia pergi ke mahkamah... kami akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin," katanya.
Abdul Malik berkata, dia tidak bertemu keluarga Cheng Cheng kerana dia berada di Kuala Lumpur. – 10 Jun, 2014. (TMI)
No comments:
Post a Comment