Wednesday, June 11, 2014

Pemuda PAS Sambut Piala Dunia 2014


 SUKAN


KUALA LUMPUR: Sempena demam Piala Dunia 2014 yang akan berlangsung beberapa hari lagi, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Santai Kaki Bola khusus untuk para peminat bola sepak dalam menyambut kehadiran kejuaraan dunia yang bertandang empat tahun sekali itu.

Program yang bakal diadakan pada 11 Jun itu berlangsung di Restoran Awwal Maju, Taman Sri Rampai, Setiawangsa mulai jam 9 malam.
Menurut Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir. Khairil Nizam Khirudin (gambar), pada majlis itu akan diadakan pertandingan permainan komputer 'FIFA'.

“Setiap peserta akan beradu kehandalan bermain bola sepak di alam maya. Pertandingan ini akan diadakan di restoran tersebut dan akan ditayangkan menggunakan layar lebar. Selain itu, turut diadakan adalah acara timbang bola sepak dan acara menjaringkan gol menggunakan kaki belakang,” katanya.

Program sambutan Piala Dunia 2014 itu, ujar beliau akan diteruskan dengan acara menonton perlawanan yang berlangsung setiap hari di Markaz Amal WP, No 21, Jalan Pria, Taman Maluri, dekat sini.

“Apa yang menarik dalam program menonton beramai-ramai ini ialah diadakan tazkirah ringkas, qiam dan solat subuh beramai-ramai.
“Ianya bertujuan untuk mendidik jiwa-jiwa muda ini untuk bangun malam bukan semata-mata kerana bola tetapi juga untuk beribadah kepada Yang Maha Esa. Itulah yang ingin diterapkan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ‘kaki bola’ di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur khususnya untuk beramai-ramai hadir di dua program di atas.

Khairil berharap program yang diadakan ini bukan sahaja mampu memberikan kepuasan buat peminat bola sepak bahkan berupaya mendekatkan anak-anak muda kepada Allah SWT.

“Ayuh kita hangatkan hati nurani kita bersama Allah SWT seiring hangatnya sambutan Piala Dunia 2014!” ujarnya bersemangat. – HARAKAHDAILY, 10/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails