Friday, June 13, 2014

Nik Aziz: Piala Dunia Berlangsung Bulan Ramadhan, Bagaimana?


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat tidak mahu membuat jangkaan awal pasukan mana yang menjadi pilihan beliau untuk menjulang Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil kali ini.

Tuan Guru yang ditemui Harakahdaily di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru dekat sini hari ini, berkata beliau bagaimanapun sangat berminat dengan sukan itu.

"Waktu sebelum perang Jepun, masa saya belajar di Jerteh, saya main bola sehingga cedera lutut sebelah kanan kena sepak oleh kawan saya.
"Sekarang ini pun, kalau cucu-cucu saya tengok bola dalam televisyen, saya tumpang tengok juga 10 ke 15 minit," katanya selepas menerima kunjungan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Institut Pemikiran Tok Guru di sini, hari ini.

Mengulas demam piala dunia yang kali ini turut berlangsung dalam bulan Ramadhan, bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, rakyat khususnya umat Islam perlu pandai membuat keutamaan. Lebih-lebih lagi kebanyakan waktu perlawan besar berlangsung awal pagi.

"Jangan sampai tubuh kita tak segar kerana bola. Ramadhan ini kita perlu bagun pagi sebelum subuh. Ajar diri, selain tengok bola, kita solat tahajud, witir dan baca al-Quran.
"Jangan jadi bola itu perkara utama. Yang jadi perkara utama adalah bangun sebelum subuh menghadapi Ramadhan dan berdoa mintak Allah selamatkan Islam," katanya lagi sambil menambah Rasulullas SAW sentiasa bangun sebelum Subuh walaupun bukan di bulan Ramadahan.

Sepak mula sebagai perlawanan pembukaan akan diadakan esok 13 Jun antara pasukan tuan rumah Brazil melawan Croatia pada jam 4 pagi waktu Malaysia. - HARAKAHDAILY 12/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails