Friday, June 06, 2014

Sindiket Larikan Bayi Dari Hospital Pula..



Bayi yang disyaki dilarikan sindiket.

JOHOR BARU: Seorang buruh binaan percaya anak perempuannya yang berusia 15 hari dilarikan sindiket penjualan bayi. Kegiatan itu dipercayai didalangi pasangan yang mendakwa suami isteri selain kerjasama jururawat hospital sebagai perantara.

Yap Chan Hwa, 32, berkata, beliau mulanya menawarkan kepada sesiapa sahaja untuk mengambil anaknya itu sebagai anak angkat sebaik dilahirkan pada November tahun lalu. Katanya, ia terpaksa dilakukan kerana tidak mampu membesarkan anak keempatnya dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, seorang jururawat di hospital memperkenalkannya kepada seorang wanita yang dikenali sebagai Hui Yee yang berminat untuk mengambil anaknya sebagai anak angkat. Kata Chan Hwa, beliau kemudiannya bertemu dengan wanita itu yang hadir bersama seorang lelaki yang didakwa sebagai suaminya.

"Pasangan tersebut bersetuju untuk menjadi ibu bapa angkat kepada anak saya yang ketika itu baharu sahaja berusia 15 hari.
"Mereka mengambil anak saya dengan mengatakan mahu menghantarnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan keesokannya wanita itu menghubungi saya memaklumkan bayi saya mengalami Sindrom Down.
"Apabila saya meminta untuk mendapatkan kembali bayi saya, wanita itu meletakkan telefon dan sejak itu tidak pernah menjawab panggilan saya," katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA negeri di sini, Khamis.

Chan Hwa berkata, beliau berjaya mengesan nombor telefon bimbit wanita tersebut yang berada di Pontian dan pergi ke sana untuk mencari anaknya.

"Penduduk di situ memberitahu saya bahawa wanita tersebut dikenali kerana kegiatannya menjual bayi ke luar negara," katanya.

Beliau kemudiannya meminta bantuan MCA untuk mengesan anaknya itu. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails