Selebriti terkenal, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot menyelar kerajaan kerana gagal memberi bantuan secukupnya kepada ibu bapa yang terpaksa mengurung anak Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 15 tahun yang ditemui baru-baru ini.
Melalui laman Instagramnya, Wardina berkata penemuan remaja lelaki OKU yang dikurung dan diabaikan ibu bapanya berpunca daripada kegagalan mendapatkan bantuan kerajaan ekoran kelemahan polisi dalam memberi peruntukan kepada golongan tersebut.
"Ini berlaku salah satunya berpunca daripada ibu bapa remaja OKU itu tidak diberikan bantuan," katanya dipetik daripada laman Instagram.
Wardina yang merupakan salah seorang Ahli Majlis Perpaduan Nasional (MPKN) turut membandingkan peruntukan dan keistimewaan diberikan negara “kafir” kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU berbanding Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam.
"Ya, itu negara kafir. Anak istimewa dan OKU kita pula? Di mana nilai kita? Terpaksa ibu bapa memikul beban tanpa pertolongan dan sistem sokongan yang padu dari mereka yang sepatutnya. Saya cuma berkongsi realiti, terimalah.
“Saya mahu bandingkan bagaimana kita masyarakat orang Islam melayan anak istimewa ini dengan negara yang kononnya kafir,” katanya.
Wardina memberi contoh negara Australia di mana ibu bapa yang mempunyai anak OKU diberikan pelbagai peruntukan seperti elaun bulanan selain dapat menjalani sesi terapi dengan percuma. Selebriti itu berkata, dengan segala kemudahan yang diberikan Australia kepada golongan demikian membuktikan betapa kerajaan negara itu memahami kesukaran dan kesulitan ibu bapa membesarkan anak OKU.
“Malah kawan saya mempunyai anak OKU, kedua-dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anaknya yang OKU.
“Anak OKU dihantar terapi secara percuma. Dihantar ke sekolah OKU berkualiti dengan percuma dan ibu bapa diberi cuti percuma setiap tahun," katanya.
Jumaat lalu, rakyat di negara ini dikejutkan dengan insiden penemuan remaja OKU terabai di Flat Taman Semarak Nilai, Negeri Sembilan. Remaja OKU itu dipercayai diabaikan ibunya tanpa memberi makan berdasarkan keadaannya ketika ditemui.
Ibu Firdaus yang ditahan reman oleh pihak berkuasa mendakwa kesempitan hidup dan tidak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai punca tidak dapat menjaga anaknya. – 23 Jun, 2014. (TMI)
3 comments:
Wardina ni tak berfikir. Dalam bilik terkurung, jiran pun tak tau. Ini pulak kerajaan. Negatif sangat lah Wardina ni.
KERA jaan...hmmmmm..hampeh..lbih suka jg PANDA..
Kerajaan perlu ambil perhatian pada anak2 OKU ramai lagi dijalanan meminta sedekah dari orang ramai untuk sesuap makanan ,apakata sebagai kerajaan yang perihatin ambil mereka ini ditempatkan tempat yang sesuai dengan keadaan mereka ,kebanyakan ibu bapa tidak mampu untun menjaga mereka ini kerana kerenah mereka tidak sama dengan manusia normal
Post a Comment