Thursday, July 10, 2014

2 Rezeki Ramadhan Untuknya, Menurut Umie Aida.





HALAMAN HIBURAN

PESONA Umie apabila 
memakai hijab cukup terserlah. 

ADA dua rezeki yang datang bertamu buat Datin Paduka Umie Aida pada Ramadan kali ini. Kedua-duanya cukup besar, malah ia memang tidak datang buat semua orang. Kecuali yang dikehendaki-Nya.

Salah satunya bersifat rohaniah manakala satu rezeki lagi bersifat material.

Umie bagaimanapun membuat keputusan bahawa salah satu daripada rezeki yang diberi Tuhan itu perlu ditolak manakala satu lagi rezeki yang dikirim kepadanya memang sudah lama dinanti. Ini cerita rezeki Ramadan Umie.

Hijab

Sebaik bermula Ramadan pada 29 Jun lalu, ia menjadi detik paling bermakna buat aktres terkenal itu apabila dia mula berhijab. Satu gerak hati yang datang secara semula jadi.

Beritahu Umie, memang sejak setahun lalu selepas konsisten menghadiri usrah dan kelas mengaji, hatinya sudah terpanggil untuk berhijab. Sementelah, usianya juga bukan lagi muda dan sudah pernah dilaluinya kehidupan yang tidak semua serba enak.

Setiap kali ada yang menegur bila dia akan berhijab, sekerap itu jawapannya, ‘Insya-Allah, dalam masa terdekat’ yang pada akhirnya menjadi satu doa sehingga Sang Pencipta benar-benar memberi dia peluang mencari jalan baharu untuk memperbaiki dan memperkemas diri pada Ramadan pertama tahun ini.

“Alhamdulillah, dengan izinNya saya berhijab. Ia (berhijab) terjadi secara semula jadi. Saya sendiri tidak sedar kerana apa yang saya tahu, selepas solat tarawih pada malam pertama Ramadan, pada sebelah siangnya saya terus rasa nyaman dengan hijab.
“Keinginan itu datang dengan sendiri dan saya fikir inilah detik yang telah Tuhan tetapkan buat saya untuk akhirnya berhijab seperti sering saya katakan sebelum ini bahawa saya memang benar ingin berhijab cuma tidak tahu bila ia akan terlaksana,” ujarnya saat ditemui pada majlis berbuka puasa dan solat tarawih di kediamannya bersama anak-anak tahfiz Darul Quran dari Keramat.

Ujar Umie, keputusan yang diambil itu juga tidak diketahui oleh ahli keluarganya sehingga pengakuan tersebut disiarkan pada Ahad lalu. Secara peribadi, dia mengaku biar proses itu berlangsung semula jadi tanpa perlu dihebahkan terlalu awal.

“Namun saya fikir, apa salahnya jika perkara yang baik seperti ini kita kongsikan. Cuma, pada awal berhijab saya kira biar saya selesaikan dulu urusan saya dengan Dia,” katanya lagi.

Ditebak tentang banyak penghijrahan dalam kalangan rakan artis wanita selain Umie pada Ramadan ini yang dilihat segelintir pihak sebagai satu trend, Umie memberi jawapan yang cukup realistik.

Katanya:

“Jika ia ditujukan kepada saya secara peribadi, saya suka untuk menjawab saya tidak mempunyai kepentingan untuk menjawab soalan ini. Terpulang kepada pemikiran masing-masing untuk melabel ia sebagai satu trend atau itu memang niat yang baik.
KONGSI REZEKI... Sudah menjadi suatu rutin, Umie akan memanggil anak-anak tahfiz datang berbuka puasa dan solat tarawih di kediamannya pada bulan Ramadan.

“Bagaimanapun, jika melihat ia dalam konteks umum, ia merupakan hak masing-masing untuk tidak berhijab atau sebaliknya. Dan saya kira apa yang penting ialah niat kita, diketahui oleh Allah sebab manusia akan terus bercakap sama ada ia perkara yang baik atau tidak baik.”
Dengan tegas juga, kata Umie, fasa baharu yang sedang dilaluinya bukan untuk membuktikan bahawa dirinya sudah sempurna, sebaliknya kesempatan yang diberi Tuhan ini sebenarnya memberi peluang buatnya memperbaiki diri dan memperbetul khilaf lalu.

Pulang RM80,000

Sementara bercakap tentang kariernya pula, Umie yang akan terbabit dengan pementasan teater Bahayanya Wanita di Singapura pada 16 Ogos depan di The Star Theater mengaku, dia yang sudah terkenal begitu selektif dalam ‘bermain’ di layar sebelum ini akan menjadi lebih selektif bagi menjaga batas.

Katanya:

 “Saya akui, selepas ini saya akan lebih selektif dan terhad dalam berlakon. Saya hanya akan ambil tawaran jika saya selesa dan rasa ia bersesuaian. Jika tidak, saya tidak ada masalah untuk melepaskannya.”

Populariti seorang Umie Aida dalam dunia hiburan juga telah membuat banyak pihak mengintai peluang untuk menjalin kerjasama dengannya.

Diketahui mempunyai reputasi yang baik dalam bidang seni, Umie menerima rezeki baharu pada 4 Julai lalu apabila dipelawa untuk terbabit dengan aktiviti amal dan kebajikan untuk membantu anak-anak yatim dan golongan susah oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai YSLM.

Pada awalnya dia telah bersetuju untuk berbakti kepada golongan tersebut, namun atas sebab-sebab tertentu, dia menarik balik keputusan itu.

Lebih menarik, Umie tidak mudah gelap mata apabila memulangkan semula wang tunai sebanyak RM80,000 yang diberikan pada pertemuan tersebut sebagai tanda sagu hati kepadanya pada keesokan hari.

Diusik tindakannya itu dilihat sebagai menolak rezeki, kata Umie:

“Saya percaya rezeki ada di mana-mana. Saya terpaksa menolak pelawaan yang satu ini atas sebab peribadi yang tidak boleh saya kongsikan.
“Sebab itu, sebaik membawa pulang RM80,000 itu dan saya juga belum lagi menandatangani sebarang kontrak, jadi saya harus segera membatalkan hasrat tersebut supaya saya tidak menyusahkan mana-mana pihak.”

Justeru, sebaik memulangkan wang tersebut, Umie meminta jasa baik kepada pihak-pihak yang mengambil gambar-gambarnya pada hari berkenaan agar tidak menggunakan gambar tersebut untuk kepentingan syarikat.

“Ini kerana saya ingin tegaskan di sini saya bukan artis atau duta YSLM. Sekiranya gambar-gambar saya digunakan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Sehingga hari ini, saya hanya duta kepada Phytosience Stemcell dan masih setia bersama mereka,” katanya bersungguh. (Kosmo!)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails