Datuk Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang mengatakan beliau perlu melepaskan jawatannya sebagai menteri besar dan menerima Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon utama untuk jawatan tersebut.
PKR tetap bertegas dengan keputusan kepimpinan tersebut berikutan sokongan kuat Hadi terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengekalkan jawatannya sebagai menteri besar
Setiausaha Agung PKR itu berkata, keputusan PKR dibentangkan dan diterima Majlis Pimpinan PR dalam mesyuarat pada 23 Julai lalu. Menurut Saifuddin, PAS dalam mesyuarat itu diwakili enam pemimpin tertinggi, iaitu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa, Ketua Pemuda Suhaizan Kaiyat, serta Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Hatta Ramli.
"Oleh yang demikian, PKR akan berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu dalam hal pertukaran menteri besar Selangor.
"Kaedah dan prinsip inilah yang selama ini digunakan dalam menentukaan menteri besar di negeri Pakatan Rakyat lain seperti di Pulau Pinang, Kedah, dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin turut membandingkan isu Selangor dengan pergolakan jawatan Menteri Besar Kedah yang dipegang Tan Sri Azizan Abdul Razak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PR itu di tangan Barisan Nasional (BN).
"PKR mengambil pendirian menghormati sepenuhnya prinsip pencalonan jawatan menteri besar Kedah adalah daripada PAS walaupun ada pelbagai permintaan dari Pakatan Rakyat yang lain supaya PKR menyatakan pendirian sama ada menteri besar ditukar atau tidak," katanya. – 26 Julai, 2014. (TMI)
No comments:
Post a Comment