Wednesday, July 16, 2014

Alyah: Dalam Dunia Hiburan Bukan Mudah Memproses Hijrah..





HALAMAN HIBURAN
 

ALYAH tidak pernah melabelkan dirinya sebagai individu yang sudah berhijab sepenuhnya. 

BERHIJRAH menuju kebaikan merupakan suatu fasa yang bukan mudah untuk diselusuri. Lebih-lebih lagi apabila karier yang ditunjangi berkait rapat dengan dunia hiburan.
Begitupun, perjalanan yang diatur dalam tempoh memperkemaskan jati diri tidaklah selancar seperti yang difikirkan. Dugaan dan cabaran yang datang berbisik perlu ditepis sebaiknya.

Itulah yang sering terlintas di benak fikiran pemilik nama Noor Hasliah Abu Hasan ini.
Lebih dikenali dengan nama pentas Alyah, penyanyi berusia 33 tahun ini ternyata lebih berhati-hati dalam menjaga tingkahnya sejak dia berhijrah kira-kira setahun yang lalu.

"Hijrah itu terlalu besar maknanya. Walaupun saya telah mengenakan hijab tahun lalu, saya masih dalam proses untuk menjadi yang lebih baik.
"Saya tidak melabel diri sebagai seorang individu yang telah berhijrah sepenuhnya kerana saya masih dalam industri. Cuma, saya hanya perlu menjaga tata susila sebagai seorang wanita Muslimah," luahnya sambil tersenyum.

 Alyah yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Sony Music Malaysia di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur baru-baru ini turut mengakui sejak kebelakangan ini, ramai antara selebriti yang mengambil keputusan untuk berhijrah dengan mengenakan hijab dan menutup aurat. Lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Ramadan, beberapa orang selebriti turut mengambil keputusan untuk memakai tudung.

Dia juga pernah berada ditempat mereka sebelum ini. Sebagai individu yang baru bertukar imej, dia lebih gemar untuk memperbaiki serta bermuhasabah diri.

"Jika mahu diikutkan, bidang seni bukanlah tempat yang sesuai untuk seseorang yang sedang berhijab untuk meneruskan karier.
"Justeru, seperti yang dikatakan tadi, saya masih menyanyi dan merakamkan lagu. Saya tidak berani untuk menyuarakan pendapat mengenai fenomena berhijab yang melanda industri kini," ujarnya.

Tambah Alyah, dia mengambil langkah berdiam diri kerana dia juga pernah melalui fasa tersebut suatu ketika dahulu.
"Suatu ketika dahulu, saya juga tidak berhijab. Justeru, tidak molek rasanya saya memberikan pandangan terhadap keputusan artis lain untuk berubah dan menutup aurat," tuturnya sambil tersenyum.

Melewati hari-hari pada bulan Ramadan tahun ini, Alyah mengakui bahawa dia banyak mengurangkan aktiviti seninya dan lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga.

"Namun tahun ini, saya mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan menjalani ibadah puasa bersama-sama," ujarnya.

Penyanyi yang turut bergelar ibu angkat kepada Mohd. Alif, 8, dan Naziatul Afiqah, 4, ini turut ber- kata, lebaran tahun ini bakal disambut secara sederhana di kampung halamannya di Johor.
"Seperti tahun-tahun sebelum ini saya bakal pulang ke Johor bersama anak-anak. Persiapan hari raya juga dilakukan secara sederhana," katanya menutup bicara. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails