Sunday, July 27, 2014

Bagaimana Langkah Selamat MB Khalid Ibrahim? - Aziz Bari.


 

Oleh  AZIZ BARI
Berasaskan kepada laporan media mengenai krisis politik Selangor mungkin ada yang mendapat tanggapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai kebebasan untuk memilih langkah yang dirasakannya selamat.

Bagaimanapun pada hakikatnya pilihan beliau tidaklah seluas dan sebebas itu. Ini kerana bukan semua pilihan itu berada di tangan beliau. Sebagai contoh, Khalid tidak boleh melarikan diri dari undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor dengan memohon pembubaran DUN.
Ini kerana sultan hanya boleh membubarkan DUN sekiranya keadaan sesuai.

Permintaan membubar DUN dari menteri besar yang sedang diancam oleh undi tidak percaya tidak boleh diperkenankan. Dengan kata lain, sekiranya setiap pilihan itu dilakukan mengikut prinsip dan amalan yang betul di sisi perlembagaan, Khalid tidak mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang disukainya.

Bagaimanapun tindakan politik tidak semestinya dibuat mengikut prinsip. Sebab itu tindakan Sultan Azlan Shah menolak permintaan membubar DUN Perak dan memecat menteri besar Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin dalam krisis politik 2009 dianggap salah dan dikritik hebat.
Tindakan bekas Ketua Hakim Negara itu dililhat mempunyai kesan berat sebelah dan tidak mengikut ideal yang ditetapkan oleh perlembagaan.

Situasi sedemikian boleh berlaku di Selangor. Apa pun kita perlu meneliti prinsip yang betul. Sama ada ia berlaku atau tidak itu soal istana dan pemain yang ada. Apa pun keputusan dan tindakan mereka semuanya akan menjadi sejarah dan akan dinilai oleh generasi kemudian. Sultan Azlan Shah mungkin dilindungi oleh Akta Hasutan ketika itu dan sekarang.

Bagaimanapun apakah ada jaminan sedemikian 10, 20 atau 100 tahun selepas ini? Nasib baginda mungkin tidak banyak berbeza dengan Sultan Mahmud mangkat dijulang yang tidak dinilai dengan simpati oleh sejarah. Berbalik kepada senario di Selangor, Khalid memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya jangan berbuat apa-apa kepada beliau.

Sementara itu perkembangan terkini di mana presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi sokongan kepada Khalid kelihatan memberi harapan kepada menteri besar yang tidak digemari oleh PKR itu. Bagaimanapun Hadi sendiri nampaknya sedar PAS sendiri tidak sekata dalam soal ini. Kita masih ingat tahun lepas PAS sendiri ikut serta dalam kumpulan penyokong kerajaan dalam DUN Selangor yang tidak selesa dengan cara Khalid mentadbir negeri.

Usaha menyingkirkan Khalid tidak memerlukan semua 15 ADUN PAS. Satu atau dua ADUN dari PAS sudah cukup untuk memenangkan undi tidak percaya yang didokong oleh PKR dan DAP.
Sehingga ini, DAP memberi sokongan padu kepada resolusi menyingkirkan Khalid. Dan dalam PKR, hanya Khalid yang menentang resolusi itu. Sementara itu speaker, ADUN DAP, boleh mengundi sekiranya kedua-dua pihak mempunyai jumlah yang sama.

Apa pun situasi yang lebih pasti ialah ketidaktentuan. Dan keadaan tidak menentu atau “seri”dalam DUN Selangor sejak Hadi bersuara semalam memberi alasan kepada sultan untuk membubarkan dewan. Dari perspektif istana, dewan perlu dibubarkan kerana sudah wujud keadaan tidak menentu akibat kedua-dua pihak, yakni yang menyokong dan menentang Khalid, seolah-olah sama kuat.

Dalam keadaan sebegini, yang sebenarnya sama dengan senario dalam DUN Perak sewaktu krisis politik 2009, istana perlu mengambil inisiatif untuk menjernihkan keadaan. Dari perspektif perlembagaan, istana mempunyai tanggung jawab untuk mempastikan  sebuah kerajaan wujud setiap masa. Dalam lingo perlembagaan, sebuah kerajaan perlu untuk menasihatkan baginda.

Dalam bahasa biasa, sebuah kerajaan perlu ada setiap masa untuk memerintah dan memerintah di sini maksudnya membuat keputusan dan bertanggung jawab kepada dewan. Sebagaimana yang termaklum perkhidmatan awam tidak dipilih oleh rakyat dan oleh itu tidak boleh dipertanggungjawabkan.

Bagaimana dewan boleh dibubarkan jika menteri besar tidak atau enggan membuat permintaan? Sebenarnya ada dua situasi di mana dewan boleh dibubar. Yang pertama melalui permintaan dari kerajaan yang ada dan yang kedua atas inisiatif istana sendiri. Pembubaran yang kedua ini relevan dalam keadaan yang kritikal.

Ini berlaku, sebagai contoh, apabila kerajaan yang ada enggan membuat permintaan membubar dewan sedangkan sokongan dalam dewan sudah tidak ada atau kian kabur. Dalam situasi sebegini, istana perlu mengambil inisiatif. Ini perlu supaya keadaan tidak menentu dapat ditamatkan dan rakyat boleh membuat keputusan tentang siapa yang mereka mahu untuk mentadbir negeri.

Apa yang kelihatan di Selangor sekarang, khususnya selepas kenyataan Hadi, ialah situasi tidak menentu atau tidak jelas. Dan istana tidak boleh membuat keputusan tentang siapa sebenarnya yang mempunyai dokongan majoriti dalam dewan, sesuatu yang perlu untuk kerajaan meneruskan agenda dan pentadbirannya. Dalam keadaan sebegini, rakyatlah sebaik-baik hakim. Lagipun urusan membentuk kerajaan dalam sistem demokrasi ialah hak rakyat. Istana sekadar membantu.
 
Sekiranya pilihan raya negeri Selangor diadakan, hasil dari pembubaran dewan ia jelas tidak menguntungkan Khalid secara peribadi. Ini kerana PKR sudah pasti tidak akan mencalonkan beliau. Apa pun kedudukan Khalid sudah tidak penting. Apa yang lebih penting ialah arah tuju negeri itu sendiri. Pilihan raya juga penting untuk rakyat menilai Pakatan Rakyat. Dan mereka akan dapat menimbang apa yang didakwa oleh PKR dan juga DAP tentang Khalid selama ini. Dalam masa yang sama, rakyat akan menilai tindak tanduk PAS yang sikapnya tidak jelas dan berubah-ubah.

Dalam pada itu Umno-Barisan Nasional akan menggunakan kesempatan itu untuk kembali berkuasa.
Bagaimanapun itu tidak mudah untuk berlaku kerana meskipun kajian UMcedel menunjukkan sokongan untuk Pakatan turun 15% sokongan kepada Umno-BN tidak berubah. Ini semacam memberi isyarat rakyat mungkin letih dengan Pakatan tetapi mereka tidak semestinya akan mengundi Umno-BN. Sekiranya pilihan raya diadakan, kita akan tahu apa yang sebenarnya rakyat mahu.

Atas alasan itu adalah wajar jika istana Selangor mengambil langkah yang berbeza dari istana Perak yang jelas membuat perkiraan yang tidak tepat pada 2009. Tetapi apa yang lebih penting ialah langkah membubar dewan dibenarkan oleh perlembagaan, undang-undang utama negara.
Apa yang menarik secara keseluruhanya dalam krisis menteri besar Selangor ini ialah ia bermula dengan parti, khususnya PKR, semacam mampu membuat keputusan dan mengawal keadaan.

Tetapi ini kelihatan berubah dan tidak mustahil jika selepas ini krisis ini akan berakhir dengan kata putus berada di tangan pihak lain, khususnya istana. Apa pun yang penting rakyat diberikan peluang untuk membuat keputusan tentang siapa yang mereka mahu untuk memimpin dan mentadbir negeri Selangor. – 27 Julai, 2014.

Dr Abdul Aziz Bari ialah mantan profesor undang-undang UIAM yang kini mengajar di Fakulti Sains Sosial, Unisel.
Lihat sebelum ini
*  Bahagian 1 dan 2.  

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan?
E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan? 

No comments:

Post a Comment