Wednesday, July 23, 2014

Dewan Panas Dengan Tweet 'rasuah pemisah'


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong membidas segelintir MP yang mengeluarkan kenyataan Malaysia "menggerunkan dan teruk" susulan insiden MH17.

"Perkara itu tidak sepatutnya dikeluarkan," katanya tanpa merujuk mana-mana MP.

Beliau turut mengkritik perkara yang dibangkitkan oleh Datuk Mahfuz (PAS-Pokok Sena) berhubung laluan yang digunakan oleh MH17. Menurutnya laluan yang dilalui oleh pesawat itu diluluskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) - badan yang menentukan dan meluluskan setiap laluan sesuatu pesawat.

"Jadi (pesawat MH17) mesti melalui (sesuatu negara berdasarkan) pengesahan (laluan terlebih dahulu) dan bukan kita buat sewenang-wenangnya," katanya.
 
Beliau turut membidas pihak tertentu yang mengkritik presiden MCA Liow Tiong Lai yang didakwa "seolah-olah lari ke Beijing" sewaktu insiden malang itu berlaku.

Sebaliknya, katanya yang juga ahli parlimen Ayer Hitam, Liow baru sahaja sampai ke Beijing untuk menyelesaikan isu MH370, sebelum bergegas pulang untuk menguruskan insiden MH17.

Sewaktu perbahasan juga, beliau turut membangkitkan dakwaan kenyataan MP Pandan Rafizi Ramli dalam satu tweet palsu (kanan) yang dikatakan menggesa kerajaan tidak menggunakan wang rakyat untuk memberi rasuah kepada pemisah bagi mendapatkan kotak hitam.

Bagaimanapun, Rafizi yang juga pengarah strategi PKR bangun menafikan perkara itu dan meminta Wee menarik balik dakwaan itu dengan menyifatkan ia sebagai "menghina dewan dan menggunakannya untuk tujuan politik".

"Penjelasan mengenai perkara itu telah diberikan. Ia palsu. Tetapi Ayer Hitam masih menggunakannya. Minta tarik balik," katanya sambil mengancam untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan itu.

Hal demikian mengundang pertikaman lidah oleh beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin yang bangun mendesak Wee menarik balik kenyataan itu dan mendesak membuat Timbalan Speaker Ronald Kiandee membuat keputusan.

Mereka menegaskan bahawa kenyataan berunsur fitnah itu tidak boleh kekal dalam hansard parlimen.

Bagaimanapun timbalan speaker Dewan Rakyat Ronald Kiandee menggunakan kuasanya mengikut peraturan mesyuarat 36.12 supaya Wee tidak mengulas lanjut perkara yang dibangkitkanya dan meneruskan perbahasan dengan menyentuh topik lain.

"Saya mengambil maklum permintaan YB Pandan dan menyerah kepada badan berwajib untuk membuat siasatan," kata Wee sebelum meneruskan topik lain.
(MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails