Saturday, July 19, 2014

Harakah Santuni Gelandangan Ibu Kota


KUALA LUMPUR: Dalam kehangatan isu gelandangan mahupun pengemis di ibu kota yang mendapat perhatian banyak pihak, Harakah melalui Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (Bakkah) tampil menyantuni golongan tersebut.

Seramai 11 orang kakitangan Harakah telah memulakan operasi pada jam 2.30 pagi di sekitar Pudu Raya bagi mengedar makanan sahur buat gelendangan yang berada di sekitar kawasan tersebut. Bakkah yang memulakan program ini sebagai usaha badan itu dalam mendekati golongan tersebut disamping mengetahui permasalahan yang dialami oleh mereka.

Turut serta dalam program kali ini adalah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar. Program yang bermula di hadapan Bangunan Maybank itu berakhir di sekitar Centre Market kira-kira jam 4.15 pagi.

Mahfuz yang turut sama menyertai program turut mengucapkan terima kasih kepada Harakah khususnya Bakkah dalam aktiviti amal ini bagi membantu gelandangan walaupun sekadar sebungkus makanan namun ia merupakan satu aktiviti sosial yang baik.

"Saya memgucapkan tahniah kepada Harakah khususnya Bakkah yang mengambil inisiatif yang sangat berharga yang bersifatkan kemanusian yang memenuhi tuntutan Ramadan dalam membantu gelendangan di sekitar Kuala Lumpur.

"Isu gelandangan merupakan isu yang  sangat serius dan semua pihak perlu duduk berbincang bagaimana untuk menguruskan kehidupan gelendangan ini, bukan sekadar memberi makanan tetapi bagaimana hendak mengurus mereka dalam memimpin masa depan mereka, " jelas beliau.

Beliau yang turut berpendapat, jika isu gelandangan ini tidak diatasi seberapa segera ia akan mendatangkan permasalahan kepada kehidupan masa depan mereka.

"Kita perlu melihat selangkah kehadapan dalam memberi bimbingan untuk mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik
"Sebab itu saya mengharapkan semua pihak yang terlibat dalam isu gelendangan ini harus melihat beberapa langkah kehadapan, kita perlu mengatasi kehidupan yang lebih panjang bukannya jangka masa yang pendek," sambung beliau lagi.

Makanan yang diedarkan itu disediakan oleh kakitangan Harakah dengan cara memasak bergotong-royong di Pejabat Harakah.

Persiapan yang dilakukan sejak petang sebelum kerja-kerja memasak dilakukan pada jam 10 malam.

Kerjasama dan kejayaan kepada program tersebut akan dijadikan satu aktiviti tahunan Bakkah setiap kali bulan Ramadan pada tahun-tahun yang akan datang.

Bakkah juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan bagi menjayakan program ini. - HARAKAHDAILY 18/7/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails