Sunday, July 13, 2014
Hari-hari Terakhir Seorang MB S'ngor.
Dengan komen terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, maka dengan rasminya juga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjalani hari-hari terakhir beliau sebagai menteri besar (MB).
Kata-kata ketua umum parti itu dibaca sebagai 'pengakuan' meminta Khalid mengosongkan kerusi dan ia permintaan partinya dan Pakatan Rakyat sendiri. Khalid yang dilihat berseorangan dalam hal ini langsung tidak boleh mengharapkan sokongan dari parti beliau sendiri untuk terus menduduki kerusi yang diterajui selama enam tahun itu.
Bagaimanapun isu penukaran MB sebenarnya bukan merupakan perkara pelik kerana ia kelaziman dan pregoratif parti politik masing-masing
Baru-baru ini di Terengganu, MB turut ditukar, dan ia 'prosedur biasa' yang digunakan BN sekiranya merasakan penyandang jawatan itu kurang 'kena' dengan pimpinan peringkat tertinggi.
Tetapi jika dilihat dari sudut 'ketelusan' dan 'kebertanggunjawaban' yang sentiasa dikumat-kamitkan PKR, adakah alasan menukar Khalid merupakan langkah dari segi politik semata tanpa sebarang input daripada 'rakyat'?
Terbaru, dengan jaminan Anwar bahawa isu itu akan diselesaikan secara tertib, teratur dan di “balik pintu yang tertutup”, serangan halus, licik dan ancaman politik menggunakan media massa dan sosial ini akan berterusan?
Ini kerana sama ada Khalid ditukar atau tidak, persepsi yang tercetus hasil polemik dan caturan kelompok politik langkah ini amatlah tidak baik untuk PKR dan juga Pakatan secara umum.
'Langkah 28'
Dengan pemilihan isu pemilihan parti yang masih tidak selesai, timbul pula isu 'Langkah 28' apabila kelab penyokong kerajaan (BBC) DUN Selangor dilaporkan membincangkan isu ini. Sumber dari DUN Selangor menyatakan 28 dari 31 ADUN PKR, PAS dan DAP telah pun bersetuju untuk mengusulkan usul undi tidak percaya terhadap Khalid. Ketua BBC Azmin Ali dilaporkan memanggil mesyuarat khas BBC buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun di Shah Alam Selasa lalu
"Hanya dua ADUN PAS iaitu Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya) dan Saari Sungib (Ulu Klang) hadir pada mesyuarat tersebut," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
ADUN DAP dan PKR difahamkan sudah sepakat untuk menguatkan desakan terhadap Khalid bagi meletakkan jawatan beliau. Hanya PAS dilihat masih tidak memberi jawapan lagi terhadap hal ini.
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad tidak mahu memberi sebarang komen sama ada menyokong atau menolak Khalid.
Bagaimanapun sumber daripada PAS Selangor menyatakan ada arahan 'tertinggi' parti yang meminta mereka agar tidak menurut desakan oleh PKR dan DAP.
Azmin sendiri tidak mahu mengakui atau menafikan rancangan sedemikian berlaku.
"Tolong jangan buat spekulasi," kata beliau kepada wartawan yang menyerbu beliau sebaik mesyuarat itu tamat, Selasa lalu.
Bagaimanapun sumber dari PKR mengakui perbincangan isu undi tidak percayai tidak dapat dilakukan kerana PAS "belum mendapat wahyu" dari kepimpinan tertinggi mereka.
Perang saraf
Peperangan kedua pihak pro dan anti Khalid kini makin sengit di media massa dan sosial dengan serangan, kritikan serta kempen halus digerakkan oleh kedua pihak.
DAP dengan lantang membariskan pimpinan Selangornya 'menembak' pentadbiran Khalid secara terbuka dalam beberapa isu seperti penstrukturan dan catuan air, pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan isu Bible.
PKR Selangor pula difahamkan menggunakan pemilihan sebagai kempen anti-Khalid dan dilihat berjaya apabila Khalid tewas dalam pemilihan peringkat cabang dan jurang undi semakin jauh berbanding Azmin dalam pemilihan timbalan presiden.
"Khalid akan lebih tertekan sekiranya kalah dalam pemilihan nanti, dia dah tak ada apa-apa," kata sumber dari PKR Selangor kepada Malaysiakini.
Di pihak Khalid, gerakan NGO Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) mula aktif memberi komen dan membuat laporan polis terhadap beberapa pemimpin tertinggi PKR yang dipercayai mempunyai kaitan dalam penyebaran berita palsu peletakan jawatan beliau minggu lalu.
Satu laporan polis dibuat semalam di Klang sementara satu lagi bakal dibuat hari ini.
Pengumuman Khalid bahawa audit dalaman akan dibuat terhadap pusat khidmat DUN yang mengambil geran dan peruntukan negeri serta penilaian semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat sebagai tekanan kepada pimpinan PKR Selangor lain dan 'mendedahkan' tingkah laku sebahagian dari mereka.
Pakatan hilang Selangor PRU depan?
Lebih hebat lagi kedua-dua kumpulan kini menggunakan hujah Pakatan akan kalah pada pilihan raya umum (PRU) depan sekiranya agenda mereka tidak diteruskan.
Sumber dari Pejabat MB menyatakan kebimbangan, dengan pemergian Khalid, rizab lebih RM 3 bilion dalam simpanan negeri akan 'diutamakan' untuk tujuan politik partisan dan tidak semestinya untuk rakyat.
Bahkan beliau yang bersama Khalid sejak 2008 mendakwa beberapa program 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' yang dipelopori Khalid bakal dibatalkan atau diubah.
"Apa rakyat akan kata kalau ada pihak sama ada dari PKR dan Pakatan guna duit untuk rakyat sesuka hati mereka," kata beliau.
Malah beliau menyifatkan pemergian Khalid akan 'menyenangkan' kerja BN untuk merampas semula negeri itu.
Ini kerana, kata sumber, pengganti Khalid mungkin tidak mampu membuat keputusan drastik untuk mengatasi kepentingan politik sebagaimana yang diamalkan bekas ketua pegawai eksetutif Guthrie itu. Sementara itu, dari sudut berbeza, sekiranya Khalid berdegil untuk kekal, pergolakan Pakatan akan membawa kepada kehilangan undi kepada negeri itu dan mudah dieksplotasi oleh BN.
"Jadi kalau Khalid tak letak jawatan, memang Pakatan hilang Selangor selepas ini," kata sumber PKR Selangor.
Rakyat akan melihat perbezaan 'cara' Pakatan dan BN menukar MB di negeri masing-masing dan persepsi politik baik merupakan kelebihan yang amat besar dalam mencongak undi. Justeru itu hemah kepimpinan Pakatan dalam menangani perkara ini amat penting agar tidak dilihat sebagai parti yang hanya mahu berpakat sesama politikus dan mengabaikan kehendak, suara dan pandangan 'rakyat.'
Bagaimana agaknya PKR akan menarik rambut dalam tepung di negeri itu? (MK)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment