KUALA LUMPUR: Ramadan tiba
lagi dan tiap kali terkenangkan nasib keluarga yang ditindas di tanah
kelahiran mereka pasti mengundang resah serta sayu bagi warga Myanmar
yang menjadi pelarian ke negara ini.
Terkini, perbalahan berdarah antara etnik Buddha dan Islam yang berlaku di bulan mulia ini, minggu lalu mengorbankan dua nyawa ketika umat Islam di Mandalay, bandar ke dua terbesar Myanmar sibuk menunaikan ibadah puasa.
Tragedi menyayat hati itu turut dirasai warga Myanmar di sini, Shah Jahan Hashim yang ditemui mStar Online baru-baru ini apabila menerima perkhabaran sedih menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) mengenai kejadian di satu subuh Ramadan yang menyebabkan beliau kehilangan orang tersayang di saat umat Islam menghitung hari untuk meraikan Syawal.
Kata pemuda berusia 27 tahun itu, abangnya adalah salah seorang mangsa yang terkorban dalam pemberontakan di kampung halamannya.
"Abang saya seorang yang baik, nasib kami menjadi minoriti islam di sana, kami tidak punya apa-apa hak untuk bersuara dan mempertahankan nasib kami sendiri," kata dia ketika di temui di Pasar Borong Selayang baru-baru ini.
Sambil bergenang air mata, Shah Jahan menunjukkan foto jenazah abangnya yang dihantar oleh keluarga mereka dari Myanmar. Kata bakal ustaz itu, pertembungan antara dua etnik di Myanmar itu sejak sekian lama sering berakhir dengan kesedihan. Malahan, situasi itu juga yang menyebabkan beliau terpaksa menjadi pelarian dan sudah lapan tahun menetap di Malaysia.
"Saya menjadi pelarian dan keluarga saya masih di sana memperjuangkan hidup dan meneruskan kehidupan dalam keadaan ketakutan.
"Bagi saya, kedatangan ke sini untuk mengejar ilmu agama dengan menghafal al-Quran bagi mencapai cita-cita menjadi ustaz," katanya yang sebak apabila menceritakan nasib keluarganya di kampung.
Rabu lalu, seorang mangsa beragama Islam dipercayai diserang ketika berjalan ke masjid untuk solat Subuh, manakala kematian mangsa kedua yang beragama Buddha masih disiasat. Kejadian itu disifatkan rusuhan paling teruk di Mandalay apabila perusuh bertindak membaling batu ke arah masjid dan kedai milik masyarakat Islam.
Setiausaha Pusat Konvensyen Agama Belia Myanmar, Khin Maung Oo berkata, pertelingkahan itu bermula berikutan khabar angin menyatakan seorang pemilik kedai minum Islam merogol seorang wanita Buddha.
Insiden itu menyebabkan ratusan anggota polis terpaksa mengawal keadaan selepas lebih 300 pelampau Buddha yang menyanyikan lagu kebangsaan berarak ke arah kedai berkenaan. (mStar)
No comments:
Post a Comment