Saturday, July 19, 2014

Jakim Hantar 10 Imam Ke Kiev Bantu Pengurusan Jenazah


Datuk Othman Mustapha


PUTRAJAYA: Jakim menghantar 10 imam ke Kiev, Ukraine untuk membantu dari aspek pengurusan jenazah dan bimbingan berkaitan agama ekoran tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas, Khamis.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan berkata perwakilan Jakim itu diketuai Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Abdul Manaf Mat.

"Bagi tujuan mengadakan solat jenazah ghaib pula, kita akan memaklumkan kepada seluruh masyarakat sebaik urusan pengurusan jenazah dimandi dan dikafankan selesai," katanya.

Malam ini katanya, Jakim turut menghantar pegawainya ke Hotel Marriot, Putrajaya bagi mengepalai solat tarawih, bacaan tahlil dan yasin serta bimbingan kerohanian khusus kepada keluarga mangsa yang ditempatkan di hotel tersebut.

Beliau juga meminta semua masjid dan surau di seluruh negara sama-sama mengadakan bacaan tahlil khusus kepada mangsa yang terlibat.

Selain itu, masjid-masjid utama di bawah seliaan Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan mengadakan solat hajat pada 10 malam terakhir Ramadan, khusus untuk mendoakan kemudahan, keselamatan, keamanan dan keampunan bagi negara.

MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Ukraine. Ia membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal hari ini berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu telah ditembak.

Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) pada Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 6.10 pagi Jumaat.

No comments:

Post a Comment