Sunday, July 20, 2014

Kisah Seorang Muallaf Jadi Gelandangan..



Mualaf Amin Chong Abdullah kini menjadi gelandangan apabila keluarganya enggan menerimanya selepas memeluk Islam. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Julai, 2014. Mualaf Amin Chong Abdullah kini menjadi gelandangan apabila keluarganya enggan menerimanya selepas memeluk Islam. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Julai, 2014.

















Disisih keluarga kerana peluk Islam punca jadi gelandangan
Susuk tubuh yang kurus, berwajah bersih dan polos tidak membezakan Amin Chong Abdullah, yang kini berusia lewat 60-an, daripada individu lain di ibu kota Kuala Lumpur yang kini bersiap sedia menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Setia dengan kopiah putihnya, Amin menjadi pengunjung setia setiap waktu solat di Masjid Jamek dan seakan tidak terganggu meskipun saban hari orang ramai memenuhi kawasan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang terkenal sebagai bazar membeli-belah untuk persiapan perayaan umat Islam itu.

Perbezaan ketara yang dapat dilihat pada Amin adalah apabila menjelangnya waktu malam.
Berbekalkan beberapa kelengkapan asas seperti pakaian, dia akan merayau di kawasan terang di sekitar bandaraya mencari tempat berteduh untuk melelapkan mata bagi mengelakkan diganggu mereka yang tidak bertanggungjawab dan mengelakkan daripada disamun.

Sejak menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur ketika berusia 40 tahun, sekitar 15 tahun lalu, Amin mula menjadi gelendangan apabila disisihkan keluarganya di Kampar, Perak apabila memeluk Islam.
Sejak itu, Amin berlegar-legar di kawasan sekitar Masjid Jamek menjalankan urusan sehariannya, termasuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesusahan Amin mendapat perhatian pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ketika itu sedang mencari bahan untuk menyiapkan projek akhirnya dan kebetulan menemuinya sedang membaca Al-Quran di tengah-tengah jalan berhampiran Masjid Jamek.

Amin Aziz, 23, kemudian mencuba selama setahun setengah memujuk Amin menetap bersama keluarganya di Kelana Jaya, namun warga emas itu enggan. Pada 2011, Amin dimasukkan ke hospital selama empat bulan, dan disahkan menghidap penyakit batuk kering, sekaligus keluarga pelajar itu berjaya memujuknya pulang ke rumah mereka untuk menjaganya.

Sejak itu, kehidupan gelandangan itu sedikit terbela apabila keluarga pelajar itu memperuntukkan sekitar RM500 sebulan untuknya menjalani kehidupannya. Keluarga itu turut memberikannya tempat tinggal, malah mencarikan kerja untuknya meneruskan kehidupan di sebuah restoran. Namun atas sebab-sebab tertentu, Amin berhenti daripada kerjanya.

"Saya cuba memujuk Pakcik Amin tinggal bersama kami selama setahun lebih namun dia enggan kerana tidak mahu menyusahkan kami.

"Tapi selepas dimasukkan ke hospital kami membuat keputusan untuk membawa dia pulang ke rumah dan mencarikan kerja untuknya," kata Amin Aziz kepada The Malaysian Insider.

Selepas lebih setahun bersama keluarga itu, termasuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2013, mualaf itu bagaimanapun menghilangkan diri dan kembali menjadi gelandangan di Masjid Jamek.

"Kami menyiapkan keperluan Hari Raya Pakcik Amin, baju raya, semua kelengkapan dia kami siapkan. Tapi sejak tiga minggu lalu dia menghilangkan diri.
"Saya tidak tahu kenapa. Sejak itu jika dia nampak saya di kawasan Masjid Jamek dia akan menghilangkan diri," kata Amin Aziz.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini dikecam hebat berikutan kenyataannya mengarahkan operasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi makanan kepada gelandangan beralih tempat sekurang-kurangnya 2km dari pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur atau mereka bakal berhadapan tindakan saman.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan banyak pihak dan menteri itu yang juga setiausaha agung Umno dikecam kerana dikatakan tidak sensitif terhadap nasib golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Beliau berkata, arahan pemindahan itu dibuat bertujuan untuk membersihkan imej ibu kota berikutan aktiviti tersebut dikatakan mengotorkan bandaraya Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, arahan itu ditentang pelbagai pihak terutama NGO terbabit yang enggan berganjak hingga menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada minggu lalu turun padang mendekati warga gelandangan di pusat bandaraya dan memahami pengagihan makanan NGO berkenaan.

Tengku Adnan berkata, pihaknya juga akan mengeluarkan garis panduan bagi operasi dapur jalanan mengagihkan makanan kepada gelandangan yang kini memasuki fasa kedua dengan perbincangan membabitkan kementeriannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal. Dia berkata garis panduan yang akan disiapkan tidak lama lagi itu meliputi semua tuntutan daripada pelbagai pihak berkaitan.

"Kita sudah melepasi tahap pertama perbincangan bersama NGO dan kini kita sedang dalam proses berbincang dengan JKM dan Baitulmal.

Pelajar itu mengakui, Amin mampu meneruskan kehidupannya sebagai gelendangan melalui aktiviti dapur jalanan yang mengedarkan makanan percuma kepada golongan terbabit.
"Pakcik Amin beritahu saya, dia mampu terus hidup hingga hari ini kerana ada makanan percuma pada waktu malam yang diberikan dapur jalanan," katanya.

Meskipun negara kini sibuk dengan persiapan menyambut Hari Raya, warga emas Amin kini masih lagi boleh dilihat berlegar di sekitar Masjid Jamek dan menjadi pengunjung setia setiap waktu solat.
"Dia pernah cuba kembali ke Kampar, tetapi keluarga dan penduduk kampungnya enggan menerima, malah menghalaunya," kata pelajar itu. – 20 Julai, 2014. (TMI)

Amin Chong Abdullah berlegar sekitr Masjid Jamek, Kuala Lumpur walaupun seorang pelajar UiTM dan keluarganya ingin menjaganya. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Julai, 2014. Amin Chong Abdullah berlegar sekitr Masjid Jamek, Kuala Lumpur walaupun seorang pelajar UiTM dan keluarganya ingin menjaganya. – Gambar The Malaysian Insider, 20 Julai, 2014
 
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-43: Kisah-kisah Saya Pilih Damai... Islam
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails