▼
Tuesday, July 15, 2014
Konstabel Zakia Hidup Dalam Tawanan
SEMPORNA – Anggota polis marin, Konstabel Zakia Aleip yang diculik dalam serang hendap di Mabul Water Bungalows Resort, Pulau Mabul di sini kelmarin selamat dalam tawanan kumpulan pengganas Sulu itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh isteri Zakia, Sharifah Erna Benson yang memberitahu, dia menerima panggilan telefon daripada suaminya lewat malam kelmarin.
“Panggilan itu hanya melibatkan mereka berdua (pasangan itu) sahaja.
“Konstabel Zakia memberitahu isterinya, dia okay dan kini berada dengan individu tertentu,” kata beliau ketika ditemui di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau, pihaknya dengan agensi keselamatan lain sedang mengenal pasti lokasi anggota tersebut ditahan dan sedang menanti panggilan seterusnya daripada Zakia, 26, atau kumpulan yang menculiknya.
Khalid memberitahu, secara dasarnya pasukan keselamatan mengenali identiti kelapan-lapan lelaki yang memakai baju celoreng dan bersenjata terbabit namun enggan mendedahkan perkara itu.
“Kita sudah lihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan siasatan lanjut mengenai insiden itu sedang lakukan.
“Selain itu, kita yakin ada penglibatan dalang-dalang di kawasan berhampiran yang memberi maklumat kepada musuh sehingga mereka boleh bertindak sedemikian,” kata beliau. (Kosmo!)
No comments:
Post a Comment