"Sekiranya didapati ada, maka kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan dengan memecat mereka daripada keahlian PAS," kata Abdul Hadi (gambar) dalam kenyataan bertulisnya hari ini.
Kenyataan ini adalah penegasan terkini yang dibuat oleh PAS selepas memecat seorang ahlinya yang pergi ke Syria Mei lepas.
Lotfi Ariffin telah dipecat 11 Mei lalu oleh PAS selepas mengumumkan secara terbuka beliau ke Syria untuk menyertai perjuangan bersenjata di sana.
Menurut inteligen Malaysia, lebih 100 rakyat Malaysia ke Syria bagi menyertai perjuangan di sana termasuk perjuangan bersenjata.
Menurut Abdul Hadi, PAS meneliti dengan penuh berhati-hati terhadap perkembangan terkini yang berlaku di Iraq dan Syria dan meminta kepada ahli, penyokong dan seluruh rakyat supaya dapat memahami segala bentuk percaturan yang sedang berlaku dengan proksi-proksinya.
"Adalah ditegaskan bahawa PAS adalah tetap mengambil pendekatan demokrasi menerusi pilihanraya dan inilah pendekatan yang kita perkenalkan kepada semua rakan-rakan dalam gerakan Islam di seluruh dunia.
"Ini jugalah yang saya tekankan dalam ucapan saya kepada kepimpinan parti-parti berteraskan Islam di negara lain dalam persidangan anjuran Economic and Social Researches Center di Turki pada bulan lepas.
"Pendekatan ini adalah yang terbaik pada masa ini bagi menghadapi masalah dalaman negeri umat Islam sendiri dengan menekankan prosesnya secara damai dan demokrasi," kata Abdul Hadi yang sebelum ini ke Turki untuk menyertai persidangan itu.
Sebab itu, katanya, PAS tidak bersetuju dengan pendekatan yang berlaku di Syria dan Iraq yang mengambil cara perang untuk menyelesaikan masalah dalaman negara umat Islam.
"Ianya juga bercanggah dengan konsep jihad dalam al-Quran dan Sunnah yang diamalkan oleh para Khulafa’ di sepanjang zaman," kata Abdul Hadi.
Katanya, para Khulafa’ ar-Rasyidin, Zaman Amawiyah, Zaman Abbasiyah dan Zaman Uthmaniyyah, kesemua mereka menyelesaikan masalah dalaman umat, dan pendekatan perang adalah terakhir dan sangat berhemat.
Sehingga Saidina Ali bin Abi Talib R.A. hanya bertindak kepada golongan Khawarij apabila mereka mengangkat senjata. Apabila mereka tidak mengangkat senjata, maka dihadapinya dengan sabar, katanya.
"Begitulah kaedah kita menghadapi kerajaan-kerajaan yang zalim sepanjang zaman dalam krisis dalaman umat Islam," katanya.
Bahkan, kata beliau, kerajaan Uthmaniyyah sendiri semasa pemerintahan mereka telah meletakkan kumpulan Druze yang dianggap kumpulan serpihan umat di luar daripada Islam ke satu kawasan di Lubnan, dan kumpulan Yazidiyah diletakkan di Iraq tanpa pendekatan secara bersenjata.
Pendekatan ini juga, katanya, adalah metode yang berasalkan dari pendekatan kajian ulama-ulama di masa itu, untuk mengelakkan diri dari orang-orang dan kelompok yang jahil dalam masalah agama sehingga merosakkan umat sendiri dan menghukum tanpa hati-hati. – 10 Julai, 2014. (TMI)
No comments:
Post a Comment