SHAH ALAM – Hasil mesyuarat Lembaga Disiplin PKR semalam menyaksikan
sekali lagi pemecatan dan penggantungan ahlinya yang dilaporkan terlibat
dalam masalah disiplin dan tatatertib.
Pengerusinya, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, pihaknya telah meneliti dan mengadakan siasatan terhadap kes disiplin yang membabitkan ahli PKR. Katanya, pihaknya telah membuat keputusan untuk menggantung seorang ahli dan memecat lima ahli yang lain.
“Antara yang digugurkan ialah ahli Cabang Ampang, Nasharuddin Md Isa, kerana dia didapati telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Jun 2014.
“Tindakan beliau melanggar Perlembagaan Parti Fasal 44.1, iaitu Akta Membawa Parti ke Mahkamah di mana tiada seorang ahli yang boleh membawa apa-apa masalah berkaitan parti ke mana-mana mahkamah dan sekiranya mana-mana ahli didapati berbuat demikian, maka keanggotaannya tergugur secara otomatik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain Nasharuddin, empat ahli PKR Cabang Kota Raja turut dipecat susulan dari pelbagai salah laku dan keganasan terhadap anggota parti dan peti undi semasa proses pemilihan di Cabang Kota Raja pada 11 dan 22 Mei lalu.
“Dua bekas ahli PKR, Nallasamy Kumarasamy dipecat kerana merampas dan menendang peti undi dan Sathiaseelan Nagamuthu dipecat kerana didapati melakukan kekasaran terhadap seorang ahli parti di dewan pengundian sewaktu proses pemilihan berlangsung Cabang Kota Raja berlaku pada 11 Mei lalu.
“Mohanathas Alagan dan Vijay Kumar Samy pula dipecat kerana mereka telah merampas dan memecahkan peti undi semasa proses pemilihan di Cabang Kota Raja pada 22 Jun 2014,” katanya lagi.
Manakala seorang lagi anggota PKR Cabang Kuala Selangor, Mustapha Mohd Talib digantung keanggotaan selama setahun selepas anggota tersebut didakwa membuat ugutan terhadap seorang calon untuk tidak meneruskan niat bertanding jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor. (SH)
No comments:
Post a Comment