Monday, July 14, 2014

Madinah Ramadan Ingatkan Pengalaman Lama Di Mekah


KOTA BHARU: “Madinah Ramadan di Dataran Stadium di sini benar-benar mengamit kenangan lama. Sudah agak lama saya tidak menikmati suasana Ramadan di Mekah atau Madinah.

“Apa yang dilaksanakan kerajaan negeri mewujudkan Madinah Ramadan sebagai tempat ihya Ramadan di Kelantan kena pada tempatnya.
“Kita tidak pernah saksikan begitu ramai orang datang bertarawih. Bilangannya mengatasi jemaah di masjid. Begitu juga orang ramai datang iftar bersama keluarga di sini,” kata seorang penjawat awam.

Beliau antara jemaah yang istiqomah, setiap malam berkunjung ke Madinah Ramadan bersama keluarga sejak hari pertama puasa. Biar pun iftar juga disediakan di banyak masjid termasuk Masjid Muhammadi, Masjid Telipot dan masjid-masjid bandar lain, namun kehadiran di Madinah Ramadan begitu luar biasa.

Ketika hujan dan ribut minggu lepas, orang ramai tetap datang. Mereka merindui suasana Ramadan di situ, yang sukar dicari di tempat lain. Biar pun ada pihak menyindir kerajan negeri dan menganggap membazir, namun tomahan liar itu ditolak warga Bandar Raya Islam.

Malah ramai juga yang datang dari jajahan lain termasuk Pasir Mas, Tumpat, Machang dan Kuala Krai. Turut ditemui pelancong dari luar Kelantan. Setiap petang menjelang sore, kita boleh lihat orang ramai tanpa mengira usia dan jantina berduyung menuju ke Madinah Ramadan.

Ada yang datang menaiki motosikal, basikal dan berjalan kaki. Selepas menjamah kurma dan sedikit kueh mueh selepas berbuka mereka solat Maghrib berjemaah. Khemah tarawih yang boleh menampung 3,000 jemaah, hampir separuh penuh ketika solat Maghrib. Selepas solat mereka dibekalkan nasi bungkus oleh petugas.

Seusia berdoa mereka mencari ruang di luar dewan solat untuk menjamah nasi. Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menyediakan ruang berbuka untuk keluarga dan khas hanya untuk lelaki dan perempuan.

“Suasana seperti inilah saya tidak pernah di tempat lain kecuali di Madinah Ramadan. Amalan bersedekah melalui penyediaan juadah seumpama kita berada di Mekah atau Madinah.
“Cuma apa yang berbeza di Mekah atau Madinah, budak-budak menarik tangan kita untuk datang ke tempat juadah disediakan keluarga mereka,” kata anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood. - HARAKAHDAILY 13/7/2014

No comments:

Post a Comment