Oleh DR MUJAHID YUSOF
SUDAH jatuh ditimpa tangga, luka lama belum sembuh, luka baru pula muncul, demikianlah perasaan tidak terungkap walaupun dengan kiasan bahasa.
Negara berkabung sebelumnya pada kehilangan MH370 yang hingga saat ini tidak muncul-muncul dan kini MH17 pula dikatakan menjadi sasaran peluru berpandu di kawasan yang menjadi rebutan.
Pada saat rakyat Malaysia, Belanda, Australia, Indonesia dan lain-lain yang menjadi mangsa korban berkabung, kuasa besar pula bersedia untuk bertembung.
Tiada siapa yang menafikan kuasa besar sebenarnya tidak peduli apa yang berlaku kepada mangsa, apa yang mereka pentingkan adalah perimbangan kuasa mereka di Eropah Timur dan meneruskan dasar ‘proxy war’ untuk terus berkuasa.
Lanjutan Perang Dingin
Amerika selepas Perang Dunia ke-II berhadapan dengan peperangan ideologi antara ‘komunis’ Russia dan ‘liberal’ Amerika.
Dunia dibahagikan melalui tirai besi antara pengaruh komunis Russia dan liberal kapitalis Amerika. Suasana ini melahirkan apa yang dinamakan sebagai ‘perang dingin’ bermula tahun 1946.
Dasar Amerika Syarikat adalah untuk membentuk keadaan bertahan atau berkawal (containment) dan bersedia bila-bila masa untuk berperang (roll-back).
Amerika dan sekutunya mewujudkan Nato (North Atlantic Treaty Organization) untuk mengimbangi penguasaan komunis di Eropah Timur. Russia mewujudkan Pakatan Warsaw bagi mengumpulkan negara-negara Eropah Timur yang tunduk kepada ketuanannya.
Peperangan Proksi
Dalam mengekalkan dasar ‘containment’ dan perluasan komunis berlaku beberapa ‘proxy war’ yang pada matlamatnya adalah untuk memenuhi kehendak pihak yang lebih besar iaitu Amerika dan Rusia.
Namun permainan ‘cold war’ ini berubah langkah apabila Soviet Union runtuh dan Rusia menjadi persekutuan (federation) dan negara-negara bawah kuasa Soviet menuntut autonomi.
Begitu juga salah satu negara yang besar terbentuk di bawah keruntuhan ini iaitu Ukraine. Ukraine yang memiliki tapak senjata nuklear ketiga terbesar semasa era Soviet Union bersetuju untuk menyerahkan dalam program perjanjian penyerahan senjata nuklear dengan syarat ia diberi kemerdekaan sebagai sebuah negara yang bebas.
Ukraine memilih untuk berkiblatkan ke arah Amerika yang sangat memerlukan negara yang menjadi proksinya untuk mengawasi kebangkitan semula komunisme.
Kebangkitan Semula Rusia
Vladimir Putin bagi warga keturunan Russia adalah simbol kebangkitan dan Presiden Rusia itu tidak ada pilihan untuk membangkitkan semangat Rusia melainkan ia perlu menunjukkan taringnya dan kali ini Ukraine menjadi mangsanya.
Penjajahan Semenanjung Crimea yang terletak di Timur Ukraine adalah isyarat kebangkitan Rusia yang sudah mula menunjukkan dasar penjajahan baru.
Amerika tidak selesa kerana khuatir kemenangannya menguasai Eropah Timur akan terjejas dengan kebangkitan penjajahan baru Rusia. Rusia membekalkan senjata kepada pemberontak Ukraine berbangsa Rusia untuk melemahkan kedudukan Ukraine.
Ia seolah pengisytiharan perang ke atas Amerika Syarikat dan kuasa Nato. Apakah peperangan baru era Putin akan meledak?
Mengapa MH17?
Sukar untuk menjawab persoalan ini seperti mana sukar untuk menjawab ke mana hilangnya MH370. Tetapi yang pasti Malaysia dijadikan umpan untuk perang kuasa besar supaya Amerika Syarikat ada mempunyai alasan yang ‘kuat’ untuk campur tangan ke atas Ukraine.
Rakyat Malaysia sebenarnya tidak peduli siapa yang menembak MH17 dan tidak berminat dalam ‘blame game’ ini. Bagi kita, siapa sahaja yang melakukan kejahatan ini adalah binatang dalam topeng manusia. Mereka tidak berhati-perut untuk menjadikan kapal terbang awam sebagai bidikan.
Dunia mengutuk dalam kegilaan kuasa besar mencatur bidak-bidak mereka termasuk Belanda yang mencatat mangsa paling ramai yang terkorban.
Kutuk Kuasa Besar
Ia adalah mainan kuasa besar yang bernafsu untuk membuka medan perang baru setelah mereka merosakkan Palestin dan menghancurkan Gazza saat artikel ini ditulis.
Malaysia perlu berdiri dengan penuh maruah untuk tidak mengambil pihak dalam perang gila ini dan mengutuk Amerika dan Rusia kerana mengheret Malaysia dalam peperangan mereka.
Buat masa ini keutamaan adalah memastikan mayat mangsa dikembalikan kepada keluarga masing-masing sementara dunia menantikan jawapan dalam kotak hitam untuk menentukan samada MH17 telah ditembak atau tidak.
Bagi rakyat Malaysia, hari ini berlangsung sidang khas Parlimen untuk seluruh negara mendapat penjelasan awal dan supaya ahli Parlimen mendapat peluang untuk berbahas.
Kesemua 222 Ahli Parlimen Malaysia bersetuju sebulat suara dengan usul Perdana Menteri kerana ia adalah soal maruah dan harga diri sebuah negara. Tidak ada siapa yang perlu mempertikaikannya.
Malaysia berkabung kuasa besar pula bertembung....
Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
No comments:
Post a Comment