Yang pasti, PAS memutuskan calon menteri besar baharu tidak akan datang daripada parti itu walaupun ia dan DAP masing-masing memegang 15 kerusi dewan undangan negeri di Selangor berbanding 14 dipegang PKR.
"Kita pada dasarnya bersetuju dua perkara iaitu menukar Khalid dan penggantinya bukan PAS tetapi kita masih belum sepakat siapa pengganti itu," kata pemimpin kanan PAS berkenaan kepada The Malaysian Insider.
Akibat tekanan kalangan Pakatan Rakyat, PKR dilaporkan bersetuju menukar Khalid selepas Aidilfitri dan sumber parti mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih isterinya untuk jawatan itu.
Wan Azizah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, akan jadi faktor penstabil PKR yang dilanda berbagai kontroversi termasuk masalah dalam pemilihan partinya. Pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan itu berkata, beberapa pimpinan parti tidak setuju Wan Azizah sebagai menteri besar atas alasan agama yang tidak menggalakkan wanita menjadi pemimpin utama.
Bagaimanapun, katanya, masalah juga timbul dengan Azmin di kalangan pimpinan PAS. The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini Pakatan perlukan sedikit masa untuk menyelesaikan krisis menteri besar Selangor ini kerana faktor penghalang paling utamanya datang daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sejak awal, Hadi menentang Langkah Kajang - dikatakan bertujuan menukar Khalid dan meletakkan Anwar sebagai menteri besar - tetapi rancangan itu gagal apabila mahkamah rayuan memutuskan Anwar bersalah dalam kes liwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, membuatkan dia tidak layak bertanding dalam pilhan raya itu. Sebaliknya, Wan Azizah yang bertanding dan menang.
Bercakap di Pulau Pinang pada Sabtu, Anwar berkata pengganti Khalid diputuskan tetapi tidak mahu mendedahkan identitinya.
"Kita belum menamakan sesiapa lagi. Ia perlukan kata sepakat di kalangan Pakatan,” katanya.
Anwar berkata, perkara itu dibentangkan dalam mesyuarat sekretariat tersebut.
Khalid sebagai menteri besar selama dua penggal sering dituduh menguruskan Selangor dengan caranya sendiri tanpa meminta pandangan parti atau kepimpinan Pakatan. Beliau juga dikritik kerana caranya menangani beberapa kes di negeri itu seperti catuan air, rampasan bible versi Iban dan Melayu oleh Jabatan Agama Islam dan keputusannya meneruskan pembinaan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex).
Sementara pemimpin PKR dan DAP difahamkan bersetuju untuk menukar Khalid, PAS Selangor sebelum ini tidak membuat sebarang keputusan tentang kedudukan Khalid dan mungkin tidak akan memutuskannya tanpa persetujuan pimpinan pusatnya. Khalid sebelum ini berkata, beliau akan terus menjadi menteri besar sehingga penggalnya tamat apabila pilihan raya umum ke-14 diadakan.
Beliau mendapat tekanan daripada partinya sendiri yang tidak senang dengan cara pentadbiran beliau di Selangor yang membelakangkan parti. Namun kajian yang dibuat Merdeka Center mendapati rakyat Selangor tidak bermasalah dengan Khalid.
"Sebanyak 72% responden berpuas hati dengan kualiti hidup dalam masyarakat manakala 25% lagi tidak.
"Seramai 3,472 responden berpandangan kerajaan negeri berada pada hala tuju yang betul manakala 12% memuji pentadbiran negeri dan 11% lagi gembira dengan pembangunan pesat negeri," katanya minggu lalu. – 21 Julai, 2014. (TMI)
E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan?
No comments:
Post a Comment