Friday, May 18, 2018

Ramadhan: Hidupkan Hati, Pilih Pemimpin Diredhai Allah.


Tazkirah 2

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

"RAMAI bersungut,  umat Islam la nie alami kekalahan, musibah dan keadaan huru-hara kacau-bilau, walaupun sudah masuk Ramadhan, bulan kemenangan."  Kawanku minta komen, meminta sikit tazkirah sumbangan kenangan Ramadhn tahun ini, dari ku.

Begini, jelasku.

Segalanya, bertolak dari hati dan jiwa. "Kalau jiwa kita kecil, segala masalah jadi besar. Kalau jiwa kita besar segala masalah jadi kecil."  Itu kata Allahyarham Prof Dr HAMKA seorang ulama Indonesia yang pernah saya temui di UTM (sekarang di UiTM) KL, semasa beliau dijemput universiti tersebut. Saya ingat benar kata-kata beliau itu.

Hati akan hidup jika dimasuki cahaya keimanan. Tapi cahaya itu akan cepat padam jika tidak dipelihara. Kini Ramadhan bulan turunnya Al-Quran, mari nikmati Al-Quran bersama cahayanya, supaya tidak padam dalam hati kita.

Rasulullah SAW pernah mengkhabarkan bahawa umat Islam akan mengalami kekalahan, musibah dan keadaan kacau bilau. Lalu beliau menjelaskan bahawa semua itu terjadi kerana kekurangan dalam hal iman. Bukan kekurangan dalam hal jumlah umat atau senjata yang dimiliki. Lemahnya iman akan mengurangi sokongan dan pertolongan Allah Ta’ala.

Kerananya Rasulullah SAW. menjelaskan bahawa jalan keluar dari suasana itu adalah dengan menggunakan Al-Qur’an.
  • Rasulullah saw. bersabda, “Akan terjadi suasana kacau dalam umat ini.” Para sahabat bingung dengan berita itu, hingga mereka bertanya, “Apa jalan keluarnya?” Jawaban Rasulullah SAW. sangat jelas, “Kitab Allah Ta’ala.”
  • Pada suatu hari Rasulullah SAW juga bercakap hal yang sama dengan Hudzaifah bin Yaman RA. Hudzaifah RA pun bertanya, “Apa yang perlu kulakukan jika kutemui keadaan itu?” Rasulullah SAW. menjawab, “Kamu perlu kembali kepada Al-Qur’an. Pelajari dan ikuti petunjuknya. Hanya di dalam Al-Qur’anlah tersimpannya keselamatan.”
Ternyata berita Rasulullah SAW itu tetap benar! Kekalahan dan musibah menimpa umat Islam silih berganti. Umat Islam seakan masuk ke dalam lorong yang gelap, tidak tahu bagaimana hendak keluar. Padahal Rasulullah SAW sudah menyebutkannya dengan jelas, jalan keluarnya adalah Al-Qur’an, Kitabullah. Al-Quran sebagai panduan hidup di dunia global, negara, masyarakat, keluarga dan diri peribadi.

Banyak musibah menimpa umat Islam disebabkan pemimpinnya, yang degil ingkar, tidak mahu ikut Al-Quran. Mereka memimpin dengan cara yang tidak diridhai Allah Ta’ala. Memimpin ikut kepala otak mereka sendiri, sehingga bantuan dan pertolongan Allah Ta’ala dicabut. Allah Ta’ala telah menyebutkan bagaimana pemimpin yang diridhai Allah Ta’ala:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
  • “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kekuasaannya di muka bumi, niscaya mereka mewajibkan sholat, mewajibkan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari perbuatan yang munkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” (Al-Hajj: 41].

Agar umat ini tetap diberi pertolongan Allah Ta’ala, umat perlu memilih pemimpin yang memang layak diberi kekuasaan. Iaitu mereka yang nantinya dapat mewajibkan pelaksanaan sholat, mewajibkan dikeluarkannya zakat, mengusahakan hal-hal yang baik, dan menghilangkan hal-hal yang buruk. Bukan pemimpin yang mengimarahkan 'masjid-masjid syaitan' membantu artis-artis atau 'tukang azan' menarik ke pusat maksiat tersebut, itu contoh kecilnya.

Ketika kita melaksanakan perintah ayat ini, bererti iman kita masih baik, dan Allah Ta’ala akan menurunkan pertolonganNya. Bila tidak, maka bersiap-siaplah untuk terus ditimpa musibah dan bencana yang berupa-rupa bentuknya.

Masih berkait masalah menghidupkan hati dengan iman. Para ulama menyebutkan bahawa ada orang yang rajin beribadah tapi imannya lemah. Di antara tanda-tandanya, dia rajin beribadah tapi masih berbuat maksiat atau sekurang-kurang menyokong kerajaan bermaksiat. Tidak sempurna iman seseorang itu, selagi negaranya masih belum menjadi negara Islam yang sebenarnya.

Cinta kepada taat Allah akan menghasilkan benci kepada kemaksiatan. Cinta kepada Allah melahirkan benci kepada musuh-musuh-Nya. Itulah cinta yang benar, cinta yang dibuktikan. Bila tidak, maka hati kita sudah tidak sehat lagi dan terancam mati hati kerana masih mencampurkan antara kecintaan dan kebencian. Padahal keduanya tidak boleh bertemu di satu hati selamanya.

Kesimpulannya, sempena menghayati Ramadhan, mengembali cahaya iman, menghidupi hati dalam menghadapi  kekalahan, musibah dan keadaan huru-hara kacau-bilau, bersiaplah dalam memilih pemimpin negara yang diredai Allah SWT. Allah pasti akan menolong kita, jika kita menolong AgamaNya!

Sekian, bersambung lagi, insya Allah.


Catatan Santai Ibnu Hasyim  
Alamat: ibnuhasyim@gmail.com     
  
9Julai 2014
KL


Lihat Tazkirah Ramadhan.. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails