Wednesday, July 09, 2014

Tinjauan Terakhir, Peluang Jokowi Jadi Presiden Cerah

AP: PRABOWO (kiri) dan Jokowi berjabat tangan selepas debat Presiden di Jakarta pada 5 Julai lalu. 

JAKARTA - Calon Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dengan gelaran Jokowi kembali mendapat momentum menjelang pilihan raya Presiden yang berlangsung pada hari ini.
Satu tinjauan pendapat terbaharu mendapati sokongan ke atas Jokowi, 53, meningkat selepas prestasinya menjunam baru-baru ini.

Menurut keputusan satu tinjauan pendapat yang disiarkan malam kelmarin, gabenor Jakarta itu mendapat 51 peratus sokongan rakyat Indonesia berbanding 43.4 peratus sokongan yang diperoleh saingannya, bekas jeneral Prabowo Subianto.

Pihak yang melakukan tinjauan pendapat tersebut ialah Sekolah Kerajaan Sugeng Sarjadi (SSSG).
Pada tinjauan itu, hampir enam peratus daripada 1,250 responden yang ditemui masih berdiri di atas pagar.

"Sokongan ke atas Jokowi meningkat semula ekoran persembahan kukuhnya pada siri debat Presiden," kata Pengarah Eksekutif SSSG, Fadjroel Rachman.

Satu lagi tinjauan pendapat yang disiarkan Kumpulan Kaji Selidik Indonesia menyatakan, Jokowi mencatat populariti 47.8 peratus berbanding 44.2 peratus yang diperoleh Prabowo.

AP BEBERAPA orang pekerja pilihan raya memeriksa peti-peti undi yang akan diedarkan ke pusat-pusat pengundian di Jakarta semalam. 
Namun, tinjauan pendapat itu menunjukkan persaingan antara mereka adalah sengit. Sebelum ini, Jokowi mendahului Prabowo sebanyak 30 peratus dalam aspek populariti awal tahun ini. Namun, sokongan tersebut merudum selepas Prabowo, 62, melancarkan kempen yang licik dan agresif.

Dalam pada itu, Jokowi menggunakan tempoh bertenang selama tiga hari menjelang pilihan raya berkenaan untuk mengerjakan umrah di Mekah. Stesen televisyen Indonesia menyiarkan rakaman yang menunjukkan Jokowi bersolat berhampiran Kaabah bersama beribu-ribu orang penganut Islam di Mekah.

Lebih 190 juta rakyat layak untuk mengundi pada hari ini di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu selepas India dan Amerika Syarikat. - dpa

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails