Friday, July 18, 2014

Tragedi MH17: Ops Menyelamat Dihalang 'pengganas bersenjata'

Sebuah pesawat dari Malaysia dilaporkan terhempas di Ukraine dekat sempadan Rusia, lapor agensi berita lewat malam ini.

Malaysia Airlines mengesahkan pasukannya terputus hubungan dengan pesawat Boeing 777 dengan nombor penerbangan MH17.

Kedudukan terakhir adalah di ruang udara Ukraine," kenyataan MAS di Twitter dipetik.

Laporan langsung sejak jam 12.01 pagi, Jumaat 18 Julai:

3.25am: Reuters memetik kenyataan pemimpin operasi bencana Ukraine yang berkata, operasi mencari dan menyelamat dihalang oleh kumpulan "pengganas bersenjata".

3.20am: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa menyebut, ruang udara yang dilalui MH17 tidak dikelaskan sebagai zon larangan terbang.

2.46am: New York Times melaporkan, keadaan fizikal mayat yang ditemui masih utuh. Ini menujukkan pesawat itu mungkin membuat pendaratan terkawal.

2.42am: Noraini Mohd Noor berkata, kakaknya dalam perjalanan pulang untuk menyambut Hari Raya yang transit di Amsterdam.

Katanya kakanya yang berusia 67 tahun itu menetap di Switzerland sejak 30 tahun lalu dan tidak pulang ke Malaysia sejak lima tahun lalu.

Beliau kesal kerana MAS tidak mengambil tindakan pantas untuk memberi makluman.

2.37am: Seorang juruterbang memberitahu The Telegraph, beliau terkejut kerana MH17 masih menggunakan laluan di ruang udara Ukraine memandangkan sebuah pesawat pengangkutan negara itu telah ditembak jatuh awal minggu ini.

"Penerbangan sudah dilencongkan keluar dari Crimea,” kata Danny Fyne.

“Saya mendapati, ganjil bagi pesawat melalui kawasan ini.”

2.30am: Laporan The Telegraph menyebut, warga Ukraine di London akan mengadakan bantahan di kedutaan Rusia atas tragedi MH17.

Para penunjuk perasaan itu akan meletakkan bunga di luar kedutaan Malaysia dan Belanda sebelum demonstrasi tersebut.

2.22am: Lebih ramai para waris tiba di anjung tinjau KLIA untuk mendapat kepastikan mengenai nasib penumpang dan anak kapal.

Pegawai MAS tidak kelihatan di kawasan itu.

2.15am: Bapa kepada Nur Shazana Mohd Salleh, 31, seorang pramugari dalam penerbangan MH17 menyatakan rasa terkejut atas kejadian itu.

Mohd Salleh Shamsuddin, 54, berkata beliau berharap anaknya itu, yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, berada dalam keadaan selamat.

Ibu Nur Shazana kelihatan berada dalam keadaan terkejut dan tidak dapat bercakap kepada pemberita.

1.57am: Wartawan New York Times di lokasi bencana melaporkan, kebanyakan mayat masih terikat dengan tali pinggang keselamatan di tempat duduk.

"Banyak mayat masih terikat dengan tali pinggang keselamatan di serpihan pesawt," kata Sabrina Stravernise di Twitter.

1.49am: Para wartawan berhimpun di luar kawasan anjung tinjau KLIA, tetapi tidak dibenarkan masuk ke ruang tersebut oleh pasukan keselamatan.

Pusat operasi bencana akan ditubuhkan di Hotel Sama-sama.

Najib sedang mengikuti taklimat oleh Pusat Operasi Darurat MAS.

1.47am: Laporan Reuters menyebut, pihak berkuasa pengangkutan udara Amerika Syarikat dan Eropah sudahpun mengeluarkan amaran berhubung risiko penerbangan di ruang udara Ukraine sejak April.

1.40am: Najib mengikuti taklimat mengenai status pesawat MH17 di pusat operasi darurat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

1am: Laporan Reuters menyebut, puluhan mayat ditemui bergelimpangan di sekitar bangkai pesawat di sebuah padang di timur Ukraine.

Pasukan penyelamat menemui sekurang-kurangnya 100 mayat ditemui dengan kawasan kampung Grabovo.

Serpihan pesawat itu dikesan dalam lingkungan diameter 15 kilometer.

Seorang pegawai kerajaan Ukraine yang dipetik dalam laporan itu menyebut, kesemua 295 orang dalam penerbangan itu maut.

12.31am: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tulisan di Twitter menyatakan rasa terkejut dengan perkembangan itu.

"Saya terkejut dengan laporan bahawa pesawat MH terhempas. Kita sedang melancarkan siasatan serta merta," katanya di Twitter.

12.30am: Presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan perbincangan dengan Barack Obama berhubung pesawat Malaysia yang terhempas di Ukraine, lapor Reuters

12.28am: Koresponden Reuters di timur Ukraine melaporkan menyaksikan bangkai pesawat terbakar dan badan manusia di kawasan bencana.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan akan tiba tidak lama lagi di pusat operasi Malaysia Airlines yang dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

12.24am: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menafikan tenteranya menembak jatuh pesawat Malaysia, lapor DPA.

12.19am: Laporan Reuters menyebut, presiden AS Barack Obama maklum dengan laporan mengenai pesawat Malaysia yang terhempas.

Rumah Putih bagaimanapun enggan mengesahkan apa-apa butiran.

12.15: Laporan Reuters memetik kenyataan penasihat kerajaan Ukraine yang berkata pesawat Malaysia itu ditembak jatuk oleh militan di timur Ukraine, mengorbankan kesemua 295 orang dalam penerbangan tersebut.

Ia menyebut, pesawat itu jatuh dekat bandar Donetsk, yang menjadi kubu kuat pemisah pro-Rusia.

Menteri tersebut, Anton Gerashchenko dilaporkan berkata, pesawat itu terkena tembakan peluru berpandu dari permukaan darat.

Laporan itu mendakwa, penduduk tempatan telah menemui bangkai pesawat.

Laporan terdahulu:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tulisan di Twitter menyatakan rasa terkejut dengan perkembangan itu.

"Saya terkejut dengan laporan bahawa pesawat MH terhempas. Kita sedang melancarkan siasatan serta merta," katanya di Twitter.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dakwaan bahawa pesawat itu ditembak jatuh masih belum disahkan.

"Tiada pengesahan bawah ia ditembak jatuh. Tentera kita sudah diarahkan untuk menanganinya," katanya di Twitter.

Pesawat itu dilaporkan membawa 295 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Ia berlepas dari Amsterdam pada jam 2.14 pagi waktu tempatan dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada kira-kira jam 6 pagi.

Laporan Al-Jazeera menyebut, pesawat itu mungkin terhempas di kawasan yang menyaksikan pertempuran sengit antara Rusia dan Ukraine.

Menurut Interfax, pesawat itu terhempas hanya 50 km selepas memasuki ruang udara Rusia.

Laporan yang memetik sumber keselamatan Ukraine yang tidak dinamakan itu menyebut, pesawat itu hilang dari radar ketika berada di ketinggian 10,000 meter. (MK)

7 comments:

Anonymous said...

najib harus letak jawatan

Anonymous said...

Najib bukan pilot bodoh!!!

Unknown said...

Doakan semoga tragedi ini bukn berakhir dgn peperangan...dunia akhir zaman...subhanallah.....

Anonymous said...

Najib sila letak jawatan!!
Enough is enough!

Anonymous said...

Selagi najib jadi PM lebih byk kapal terbang akan hilang atau terhempas

Anonymous said...

kau nak sape lagi jadi PM..anwar?bkan kapal terbang yg jatuh...bangunan agaknye yang jatuh nanti...

Anonymous said...

Ello bro....at least najib dpt tonjolkan kredibilitinya bercakap ngan yakin, lancar & confident di mata dunia bila berita ni first time kluar dlm tv sehingga mat2 salleh lain ternganga2 dibuatnya...x mcm kes mh370 dulu aku dgr mamat tu ckap aritu pon berketul2 taik telinga aku kluar

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails