SYDNEY - Tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di Ukraine bukan satu kemalangan tetapi jenayah, kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam.
Pesawat jenis Boeing 727-200 itu yang dinaiki 298 orang termasuk 28 rakyat Australia jatuh di kawasan yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine kelmarin.
Terdahulu, beberapa pegawai Amerika Syarikat berkata, pesawat tersebut kelihatan ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu darat ke udara.
"Ini bukan kemalangan, ini satu jenayah," kata Abbott.
Beliau menyatakan, Menteri Luar, Julie Bishop telah menemui duta Rusia untuk mendapatkan jaminan bahawa Moscow akan bekerjasama sepenuhnya dengan sebuah badan siasatan bebas yang akan menyiasat insiden tersebut.
"Maklum balas awal Duta Rusia menyalahkan Ukraine berhubung tragedi ini dan saya perlu menyatakan bahawa jawapannya langsung tidak memuaskan," ujar Abbot.
"Kita semua tahu Ukraine dilanda krisis. Kita juga tahu pihak yang patut dipersalahkan berhubung krisis itu (Rusia).
"Alasan Rusia bahawa ia tiada kena mengena dalam insiden ini kerana ia berlaku di ruang udara Ukraine langsung tidak boleh diterima," tambahnya.
Australia kini mendesak satu resolusi penuh oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya satu siasatan penuh insiden MH17 dilancarkan.
"Adalah penting untuk kita tidak membenarkan Rusia menghalang siasatan penuh dan menyeluruh ini supaya kita dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
Menurut Abbott, beliau berang dengan tragedi tersebut dan mahu pihak yang bertanggungjawab didedahkan.
"Pesawat ini tidak jatuh kerana kemalangan. Ia ditembak jatuh. Ia tidak terhempas. Ia jatuh ditembak. Dan ia ditembak di wilayah yang dikuasai pemberontak yang disokong Rusia," ujarnya. - AFP
No comments:
Post a Comment