Kerajaan Ukraine mengesahkan sebuah pesawat ditembak pada ketinggian 40,000 kaki di ruang udara mereka, sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan siasatan segera ke atas khabar angin kehilangan pesawat dikhuatiri penerbangan MH17.
Bagaimanapun pihak berkuasa Ukraine tidak mengesahkan penerbangan yang ditembak tersebut.
Laporan agensi berita Reuters dipetik mengatakan pihak berkuasa Ukraine mendakwa pesawat tersebut ditembak oleh kumpulan pemisah.
Laporan Reuters tersebut juga mengatakan kawasan terhempas berada dalam kawasan yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Russia. Najib dalam akaun Twitter miliknya berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengesahkan perkara tersebut.
"Saya terkejut dengan laporan MH terhempas. Siasatan sedang dijalankan," kata Najib.
Pegawai kementerian kecemasan di Ukraine berkata anggota badan kira-kira 100 orang kelihatan bertaburan 15km dari tempat kejadian.
Sebelum itu, laporan mengatakan pesawat membawa 295 penumpang Malaysia terhempas di sempadan Ukraine-Russia, menurut laporan agensi berita Reuters lewat malam ini.
Reuters memetik laporan agensi berita Interfax menyebut, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Laporan tersebut memetik sumber industri penerbangan, bagaimanapun usaha mengesahkan insiden masih sedang diusahakan pihak agensi.
Sementara itu syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) dalam akaun Twitter berkata mereka terputus hubungan dengan penerbangan MH17.
Lokasi terakhir menurut MAS adalah di ruang udara Ukraine.
Dalam pada itu, Najib tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberikan taklimat mengenai tragedi itu.
Najib dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat. – 17 Julai, 2014.(TMI)
No comments:
Post a Comment