Sunday, August 10, 2014

Berakhir K'jaan PR, Melainkan MB Baru Dipersetujui Sultan -Dr Abdul Aziz Bari

Dr Abdul Aziz Bari sebagai pakar perlembagaan berkata kini kerajaan sudah dijatuhkan PKR, kerana apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jatuh, seluruh exco juga jatuh. – Gambar fail, 10 Ogos, 2014.
Dr Abdul Aziz Bari sebagai pakar perlembagaan berkata kini kerajaan sudah dijatuhkan PKR, kerana apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jatuh, seluruh exco juga jatuh. – Gambar fail, 10 Ogos, 2014. 

Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai berakhirnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor, melainkan menteri besar baru dipilih dan dipersetujui Sultan.
Menurut bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, langkah PKR memecat Khalid menyebabkan kuasa menteri besar dan exco juga hilang, sekaligus menyebabkan tiada kerajaan di Selangor.

"Selangor sekarang tidak ada kerajaan, kerajaan negeri dijatuhkan oleh PKR, kerana apabila Khalid jatuh, seluruh exco juga jatuh.
"Jadi maknanya, Sultan yang sepatutnya memiliki kerajaan yang stabil, tetapi keadaan itu tidak berlaku sekarang kerana Khalid sudah dipecat," kata Aziz kepada The Malaysian Insider malam tadi.
Aziz berkata Khalid kini bukan lagi menteri besar Selangor dan PR perlu memutuskan nama pengganti.

"Bila dipecat, beliau bukan lagi menteri besar," katanya.

Mengenai hujah mengatakan Khalid masih sah sebagai menteri besar, Aziz berkata situasi Khalid ketika ini adalah berstatus menteri besar bebas yang tidak mewakili mana-mana parti dan bukan lagi daripada PR.

"Apabila sudah pecat maknanya negeri Selangor dikendalikan oleh seorang menteri besar bebas, ini tidak boleh.
"Maknanya kena cari dan pilih seorang menteri besar baru serta beritahu kepada Sultan bahawa ini adalah calon kita," katanya.

Aziz menjelaskan peranan Sultan ketika ini sangat penting dan bertindak sebagai pengadil serta mempunyai hak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana kerajaan negeri  tidak stabil lagi.

"Yang penting ketika ini Sultan, baginda adalah pengadil.
"Sekarang kamu tidak ada lagi menteri besar, maknanya Sultan boleh bubar untuk orang ramai pilih dalam pilihan raya semula," katanya.

Namun, Aziz berkata pecat sahaja tidak mencukupi dalam usaha menyingkirkan Khalid, tetapi PKR perlu dapatkan sokongan daripada rakan dalam Pakatan, DAP dan PAS.

"PKR perlu yakinkan rakan dalam Pakatan untuk bawa usul tidak percaya kerana pecat sahaja tidak cukup, kerana kamu tidak tahu sama ada PAS atau DAP setuju dengan PKR.
"Ini bermakna, mereka perlu uji sama ada pemecatan itu memberi kesan kepada kedudukan Khalid kerana kita tidak tahu beliau mendapat sokongan majoriti atau tidak," katanya.

Menurut Aziz, bagi menggantikan Khalid, ia perlu mengikut proses Perlembagaan, iaitu dengan memberitahu Sultan kemudian membawa usul tidak percaya.

"Mereka perlu yakinkan rakan dalam Pakatan untuk pergi terus ke Sultan dan beritahu keputusan bersama itu secara jelas, mengatakan tidak lagi menyokong Khalid.
"Dan kemudiaan pada Isnin, boleh bawa usul ke Dewan untuk undi tidak percaya," katanya.

Menurut Aziz bagi pihak Khalid, sekiranya mahu terus menjadi menteri besar, beliau perlu membuktikan masih memiliki sokongan daripada wakil dalam DUN.

"Tetapi jika beliau ada sokongan pun, kerajaan bukan lagi kerajaan Pakatan, ini kerajaan Khalid.
"Secara asasnya, apabila PKR pecat Khalid, PKR sudah menarik semula sokongan kepada Khalid, jadi Khalid sekarang bebas, bukan lagi PKR.
"Apabila menjadi bebas, beliau tidak boleh jadi lagi menteri besar dan perlukan sokongan, jadi Khalid perlu bekerja tidak kisah daripada Umno atau mana-mana parti pun, untuk tunjukkan kepada Sultan bahawa beliau masih mempunyai sokongan," kata Aziz.

Krisis politik dalaman PKR ini dijangka mengulangi insiden yang berlaku di negeri Perak pada tahun 2009, di mana Sultan Azlan Shah bertindak menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan Datuk Seri Dr Zambry Kadir. Isu tersebut mencetuskan kekecohan apabila Sultan Perak dikatakan tidak mendengar nasihat Nizar selaku menteri besar pada ketika itu supaya membubarkan DUN atas alasan demokrasi.

Krisis bermula apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PR melompat parti, memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). Berbeza dengan situasi kali ini, Aziz berkata Sultan perlu masuk campur tangan dalam krisis di Selangor kerana kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil.

"Sebab itu saya katakan sebelum ini, di mana Sultan perlu campur tangan; sama ada memanggil Khalid untuk buktikan beliau masih memiliki sokongan majoriti dalam dewan atau menyuruh Khalid letak jawatan,” katanya.

Dari sudut perundangan, PR masih sah pentadbir menguasai DUN, bagaimanapun kerajaan negeri Selangor bukan lagi di bawah pemerintahan mereka.
Kini PAS dan DAP memiliki 15 kerusi DUN sementara PKR 13 dan Khalid sebagai wakil bebas. BN pula memiliki 12 wakil dalam DUN Selangor. – 10 Ogos, 2014.
  (TMI)

Sila  lihat..


E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?   

No comments:

Post a Comment