GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhajat mewujudkan sebuah Masjid Cina di bandaraya ini untuk mengembangkan syiar Islam selain sebagai pusat komuniti bagi masyarakat Tionghoa beragama Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Abdul Malik Abul Kassim (gambar).
Buat masa ini ujarnya, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) mencadangkan Masjid Papan yang terletak di Jalan Burma dijadikan pusat komuniti sementara untuk menggerakkan aktiviti saudara baru.
"Kami akan membantu NGO (badan bukan kerajaan) menggerakkan semua aktiviti yang dirancang untuk saudara baru.
"Masjid Papan ini merupakan lokasi yang sesuai untuk itu. Biar mereka banyakkan aktiviti dan jika ada kesungguhan, kita cuba cari lokasi lain yang lebih strategik untuk membangunkan sebuah masjid khas yang dinamakan Masjid Cina," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung.
Menurut Abdul Malik, usaha mewujudkan Masjid Cina di Pulau Pinang pernah diusulkan pendakwah terkenal, Ustaz Husin Yee sekitar tahun 2008 namun hanya difikirkan secara serius setelah MAINPP memulakan pensektoran baru organisasi jawatankuasa masjid.
Di Masjid Papan ujarnya, MAINPP melantik kaum Cina muslim sebagai jawatankuasa masjid dibantu seorang koordinator yang menjadi orang tengah antara masjid dan pejabat Exco.
"Dari sini mereka boleh merangka aktiviti kebudayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina dan sebagainya. Kebajikan mereka juga terbela apabila masalah yang dihadapi dapat diatasi bersama," ujarnya.
Chinese Mosque, Rantau Panjang Kelantan.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Suatu cadangan yang cukup baik. Cadangan tambahan..
- Biarlah masjid itu berfungsi seperti peranan masjid di zaman Rasulullah yang bergerak canggih mengikut era masakini.
- Menjadi pusat ilmu peringkat nasional dan internasional.
- Buat tumpuan menurut versi Cina iaitu dengan memperkenalkan sejarah Islam yang beriringan dengan budaya Cina.
- Namakan masjid itu dengan nama tokoh Islam berbangsa Cina, samada tokoh tempatan atau tokoh antarabangsa seperti Cheng Ho.
1 comment:
Mungkin elok diNamakan masjid itu, Masjid Ibnu Sina, untuk meraikan ilmuan dan tokoh perubatan Islam itu. Dari segi morphologinya, sebutannya hampir dengan sebutan Cina tanpa membawa unsur assobiah kepada bangsa. Mungkin elok di bangunkan di sekitar Jln C Y Choy, dgn meroboh rumah kedai lama yg telah ditinggalkan, lantas dihidupkan semula kawasan bandar dalam ('inner city') itu dgn syi'ar Islam berlandaskan ilmu dan pemahaman yg jitu. Serentak, masjid papan tidak di usik.
Post a Comment