Tuesday, August 12, 2014

Erdogan Meneng, Mengapa Perlu Tahniah?


Oleh DR RAJA AHMAD AL HISS

Kemenangan Erdogan harapan ummah
Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan, dari Parti Keadilan & Sejahtera (AK Party)  di atas kemenangan beliau dalam pemilihan Presiden Turki dalam pusingan pertama setelah mendapat 52 peratus undi.

Kemenangannya menjadikan beliau tanpa perlu melalui proses pusingan kedua kerana mendapat majoriti yang besar kali ini.  Kemenangan ini juga membolehkan beliau berkhidmat untuk tempoh lima tahun lagi setelah menjadi Perdana Menteri di Turki sejak 10 tahun yang lalu.

LA PPM merasa bangga kerana kejayaan Erdogan adalah hasil daripada proses demokrasi yang dijunjung tinggi. Turki adalah sebuah negara moden yang berjaya menjulang demokrasi pada kedudukan tertinggi tanpa sebarang konflik dan penyelewengan.

Kejayaan Erdogan memimpin Turki sebagai Perdana Menteri sebelum ini amat mengagumkan banyak pihak. Beliau mampu menghentikan sengketa, mengelakkan krisis, menyelesaikan masalah rakyat, mengangkat kedudukan ekonomi Turki serta menghapuskan amalan rasuah dan nepotisme di kalangan pemimpin negara.

Kecemerlangan era kepimpinannya sebaga PM Turki membawa landasan baharu Turki menjadi antara negara disegani lawan dan kawan. Malah, keprihatinannya dalam isu antarabangsa terutama isu Gaza dan Mesir membuka mata pemimpin negara Islam yang lain.

Apa yang mengujakan adalah bagaimana AK Party, parti yang dipimpin oleh Erdogan mampu memberi impak yang besar kepada rakyat Turki walaupun baharu diwujudkan pada tahun 2001. Dengan usaha progresif menyelesaikan masalah rakyat, mengutamakan kebajikan, serta bersikap realitistik dalam menangani isu-isu kemanusiaan dan rakyat, AK Party diterima baik oleh rakyat Turki.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh karisma yang begitu berwibawa seperti Erdogan, pastinya Ak Party adalah pilihan utama dan menjadi fenomena rakyat Turki ketika ini. LA PPM bersama rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam meletakkan harapan Erdogan mampu menjadi pemimpin dan pembela ummah khususnya yang berkaitan isu Gaza sebagaimana ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Umat Islam di dunia ini amat memerlukan seorang pemimpin pemberani dan lantang sehebat Erdogan, yang mampu mengancam dan menggugat keangkuhan Israel terkutuk!
- HARAKAHDAILY 12/8/2014

*Penulis adalah Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia

1 comment:

Anonymous said...

ibnu, cerita lucah ada tk?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails