Wednesday, August 06, 2014

Isu MB S'ngor, Apa Kata Dr Mujahid?

Post Pic

 SHAH ALAM: Meskipun kerjasama di antara PAS-PKR-DAP digugat dengan isu jawatan Menteri Besar Selangor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berharap Pakatan Rakyat (Pakatan) masih terus utuh dan tidak menunjukkan tanda-tanda perpecahan.

Memetik ulasannya, Mujahid menegaskan politik Malaysia selama ini terhindar daripada satu peralihan paradigma politik yang besar, sehinggalah apa yang terjadi kepada Pakatan pada hari ini.

"Tembok perkauman berjaya diruntuhkan dengan semua kaum melihat kepentingan negara dan masa depannya lebih utama dari politik rasuah dan rasis yang menjadi barah pada negara.
"Pakatan Rakyat telah berjaya melahirkan generasi pemimpin yang membuka minda baru kepada makna berpolitik dan rasional berhujah atas advokasi dasar dan bukan sentimen.
"Pakatan Rakyat telah menyegarkan proses kematangan demokrasi dan memperjuangkan pilihan raya bersih serta membawa wahana media alternatif kepada satu tahap membungkah apa yang selama ini dianggap taboo," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Lebih lanjut Mujahid mempertahankan kerjasama ketiga-tiga parti itu adalah penyaring kepada ahli-ahli politiknya yang sentiasa diuji dengan arus perubahan semasa.

"Justeru itu, saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wadah terbaik setakat ini untuk meneruskan proses kematangan politik yang amat diperlukan oleh rakyat Malaysia demi perubahan kepada politik baru.
"Saya mengakui Pakatan Rakyat mempunyai sedikit masalah kerana ia membawa cita-cita besar ini yang kadangkala ia tidak difahami oleh pemimpinnya sendiri.
"Tetapi saya tidak dapat memikirkan apa akan terjadi kepada aspirasi politik baru jika Pakatan Rakyat berpecah dan terus tiada di persada politik tanah air," demikian menurutnya.

Umum kini mengetahui Pakatan Rakyat berdepan dengan pelbagai kemelut, antaranya isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hasrat “Langkah Kajang” yang dilihat gagal menjatuhkan Khalid sebelum ini, kembali berlaku dalam PKR terutama selepas beliau gagal mempertahankan kerusinya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 di negeri itu. PKR pada 22 Julai lalu mengumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, menggantikan Khalid.

Beberapa hari selepas itu, PKR menyerahkan pencalonan Wan Azizah secara rasmi di Majlis Presiden Pakatan Rakyat. DAP dan PAS dilaporkan akan bermesyuarat dalam masa terdekat sama ada untuk menerima pencalonan Wan Azizah, atau sebaliknya.


Lihat ini..
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

  E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails