Friday, August 08, 2014

Kami Cari Rezeki, Bukan Sokong Israel. -Pekerja McDonald’s Bimbang.

Restoran makanan segera McDonalds's yang dikatakan ada kaitan dengan Israel diboikot di seluruh negara sejak kempen dilancarkan kerana membantah serangan terhadap Palestin. Gambar fail.



Restoran makanan segera McDonalds's yang dikatakan ada kaitan dengan Israel diboikot di seluruh negara sejak kempen dilancarkan kerana membantah serangan terhadap Palestin. Gambar fail.

 
Pekerja rangkaian outlet makanan segera McDonald's mula bimbang dengan keselamatan diri masing-masing susulan kempen boikot yang dilakukan di seluruh negara terhadap premis tempat mereka bekerja itu.

Mereka bimbang jika ada individu atau pihak yang bertindak ekstrem semata-mata kerana marah terhadap Israel dengan menjadikan pekerja McDonald’s sasaran melepaskan geram.

Jika dulu, mereka bebas memakai uniform kerja ke mana-mana, tetapi kini perasaan kekok dan rasa diperhatikan mula menyelubungi diri, lapor Sinar Harian dalam laporan khasnya mengenai boikot McDonald's susulan serangan Israel ke atas Gaza.

Ini berikutan dakwaan restoran makanan segera ini menyumbangkan sebahagian pendapatan mereka kepada Isreal. Sehingga kini, lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan terbuka Israel ke atas Gaza. Turut menjadi mangsa ialah sekolah antarabangsa kelolaan PBB. Ekoran itu, boikot dilancarkan di seluruh dunia terhadap kedai atau barangan yang dikaitkan dengan Yahudi atau Isreal.

“Kami hanya bekerja mencari rezeki, bukannya menyokong Israel."

Demikian luahan rasa sebahagian pekerja McDonald’s di sekitar Negeri Sembilan yang mula terkesan dengan kempen boikot terhadap produk makanan segera berkenaan, lapor Sinar.
Seorang pekerja memberitahu, kempen boikot terhadap produk berkenaan pernah dibuat sebelum ini, namun kali ini ia lebih membimbangkan.

“Saya sudah empat tahun bekerja di sini dan sebelum ini kempen yang sama pernah dilakukan, tapi ia tidak begitu ketara berbanding sekarang.
“Saya sendiri pun takut sekarang sebab ‘orang luar’ pandang kami seolah-olah menyokong Israel sedangkan kami tidak tahu apa-apa,” katanya.

Katanya, segelintir rakannya mula menyatakan hasrat berhenti kerja berikutan bimbang terus dikecam. Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada lagi perkara yang tidak diingini terjadi kepadanya namun perasaan bimbang itu sentiasa ada.

“Ada pelanggan datang ke kaunter semata-mata mahu beritahu dia boikot McDonald’s.
“Keadaan provokasi seperti ini sebenarnya boleh menimbulkan kejadian di luar dugaan. Sekarang, kami rasa takut sehinggakan majikan menasihatkan tidak memberi kenyataan kepada sesiapa yang bertanya tentang isu ini,” katanya.

Malah dia juga tidak menafikan penjualan semakin merosot dan kempen boikot dilancarkan ternyata berkesan. Seorang lagi pekerja berumur 23 tahun berkata, dia tetap akan bekerja di restoran itu seperti biasa.

“Saya sudah bekerja di syarikat ini selama empat tahun, dan inilah punca pendapatan saya.
"Syarikat ini yang membayar setiap titik peluh saya bekerja di sini," katanya yang yakin isu boikot ini akan selesai.

Menurut tinjauan yang dibuat akhbar itu di seluruh negara, boikot itu berjalan dengan pantas dan para pekerja rangkaian kedai makanan itu mula terasa keberkesanannya apabila mereka kekurangan pelanggan. Tinjauan yang dibuat di Kelantan mendapati, orang bukan Islam turut memboikot McDonald's di negeri itu.

Malah, restoran itu yang sebelum ini menjadi pilihan pelajar berkumpul dan membuat perbincangan bukan lagi tumpuan kerana ada yang memilih ke kedai makan biasa. Salah seorang pekerja McDonald’s di Melaka mengakui mereka cukup terkesan akibat kempen boikot yang dibuat pelanggan restoran makanan segera itu. Katanya, pelanggan Melayu amat berkurangan sejak kempen memboikot dilakukan.

“Memang dulu ada kempen boikot tetapi hanya sementara... apa nak buat kak, mereka tak nak makan McDonald’s lagi.
“Kadang-kadang ada yang malu hendak membeli di kaunter dan beli di laluan pandu lalu,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar.

Menurutnya, mereka menerima tempias kerana disindir masyarakat berikutan bekerja di restoran itu. – 8 Ogos, 2014. (TMI)

5 comments:

Anonymous said...

boikot mereka membunuh anak palestin yang seagama dengan kita.pegi mampus yahudi allahuakbar

XUMNO said...

Carilah kerja lain. Banyak syarikat2 yang tak ada kaitan dengan Yahudi. Tinggalkan McD. Kalau awak masih juga sayang nak berhenti bermakna awak juga suka bersekongkol dengan Yahudi membunuh kanak2 dan wanita Palestin tak berdosa.

kampong lad said...

depa ni tak salah. yg bawak masuk perniagaan ni kena bertanggung jawab. anak luar nikah tak berdosa, yg salah ialah jantan & betina buat anak tu. dah berpuluh tahun mcd beroperasi, awat tak bising dari dulu?

Anonymous said...

Kena la berkorban demi agama..letak jawatan cari keja lain kat Malaysia ni berlambak kerja nak dengan tak nak je yg penting halal dan tidak berkerjasama dengan golongan yg menindas saudara seagama spt McD ni..semogga Allah permudahkan dan merahmati kalian.

abang burger said...

korang bukak gerai burger buat bisnes kecil2an macam abang nih lagi berkat dan berbaloi dik oooi...1 tahun bisnes confirm korang dah balik modal..tak perlu pun kerja sampai 4 tahun kat mekdi tuh..tengkiu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails