HALAMAN HIBURAN
RAMADHAN tahun ini menyaksikan perubahan drastik beberapa selebriti terkenal tanah air terutama daripada segi memenuhi tuntutan berhijab.
Hal itu turut membabitkan pelakon Sheera Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 29, yang mula berhijab pada bulan penuh berkat itu. Enggan riak dan menggembar-gemburkan kisah penghijrahannya, tegas pelakon filem KL Gangster itu, tujuannya berhijab juga bukan untuk berkahwin.
Demikian lapor Kosmo! Online hari semalam.
Sheera yang ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Media Hiburan di Dewan N’Dah Catering, Shah Alam, Selangor baru-baru ini berkongsi kisah tentang proses penghijrahannya kepada Kosmo!.
"Saya pakai tudung bukan sebab orang tapi kerana diri saya sendiri dan rasanya, tidak perlu untuk saya membuat sebarang pengumuman untuk tindakan ini (bertudung). Sedangkan keluarga saya sendiri pun tidak tahu bahawa saya sudah bertudung sejak Ramadan lalu, sehingga akhirnya mereka sendiri bertanyakan kepada saya untuk mendapatkan kepastian." Katanya kepada Kosmo!
Ditanya, bagaimana bermula proses dia bertudung sebenarnya?
"Saya banyak ditawarkan (berlakon) watak yang memerlukan saya bertudung dan pada bulan Ramadan lalu, saya rasa malu apabila tidak bertudung sedangkan orang sekeliling saya semuanya menutup aurat dengan sempurna.
"Jadi, saya mengambil pendekatan perlahan-lahan belajar pakai tudung hingga saya selesa. Tambahan, apabila berada di luar rumah saya seringkali dihulurkan tudung percuma. Jadi, saya melihat perkara yang berlaku di sekeliling saya sebagai satu petanda kuat untuk saya berubah." Jelasnya lagi.
Pendekatan yang Sheera ambil untuk menepis dakwaan bahawa bertudung kini seolah-olah menjadi satu trend?
"Ramai yang tidak perasan bahawa saya sudah bertudung dan saya akui, memang banyak dugaan sepanjang mula berhijab tapi Alhamdulillah banyak urusan saya dipermudahkan Allah. Malah, saya mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan teman rapat di sekeliling saya.
"Untuk istiqamah dalam setiap perbuatan kita, ia sebenarnya terpulang pada diri individu masing-masing. Memang berada dalam industri (hiburan) akan ada banyak cabaran tetapi saya percaya rezeki ada di mana-mana dan tidak semestinya apabila saya bertudung saya tidak boleh berlakon lagi selepas ini." Jelasnya.
Itulah Sheera, terungkailah mengapa dia bertudung senyap-senyap. (IH)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
No comments:
Post a Comment