Thursday, August 21, 2014

Kongres Tahunan PKR, Diharap Pulih Perpecahan Dalaman.

Pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi parti dijangka memulakan langkah dengan menekankan keperluan mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersatu di dalam dan di luar parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Ogos, 2014.   Pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi parti dijangka memulakan langkah dengan menekankan keperluan mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersatu di dalam dan di luar parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Ogos, 2014.  
 
PKR yang agak pincang bakal memulakan Kongres Nasional Tahunannya selama 3 hari mulai esok dengan harapan menonjolkan sebuah barisan yang bersatu selepas melalui pemilihan parti yang huru-hara dan krisis menteri besar Selangor yang berlarutan, yang hampir memecahkan Pakatan Rakyat.

Pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi parti dijangka memulakan langkah dengan menekankan keperluan mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersatu di dalam dan di luar parti.
Akan terdapat juga seruan kepada parti untuk memulihkan hubungan dengan sekutunya PAS, memandangkan hubungan PKR dengan parti Islam itu dikhuatiri terjejas akibat kemelut yang melanda berhubung agenda menukar menteri besar Selangor.

Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan kongres pada Sabtu dan tema utama ucapannya akan berkisar tentang perpaduan dan menggariskan rancangan masa depan parti itu untuk Selangor.

Pemimpin dan ahli parti mengatakan perwakilan akan mengambil maklum maksud ucapan presiden dan memberikan perbahasan yang bernada positif untuk memperkuatkan hubungan parti dengan rakan lain dalam gabungan pembangkang  – PAS dan DAP.

"Krisis menteri besar tidak memberi keyakinan yang positif. Ia menjejaskan semangat parti dengan cara yang sedikit pelik, dalam erti kata, sambil kita mempunyai azam yang tinggi menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah dan tetap teguh mempertahankan pendirian kita walaupun dunia bagaikan menentang, kita rasakan satu kepiluan melalui keseluruhan proses ini, kata seorang pemimpin parti, merujuk kes menteri besar yang tersingkir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan calon pilihan parti, Dr Wan Azizah.
"Bagaimanapun, pada masa yang sama, ia meningkatkan semangat kita, menunjukkan kita boleh lalui apa saja asalkan kita buat perkara yang betul," katanya yang meminta tidak dinamakan.

Khalid dipecat dari PKR pada 9 Ogos selepas enggan menurut arahan parti meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Dr Wan Azizah yang merupakan pilihan parti untuk menggantikannya.
Dua hari selepas itu, Sultan Selangor dikatakan memberi perkenan kepada Khalid untuk terus menjalankan tugas menteri besar walaupun berstatus ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas.

Ahad lepas, PAS mencadangkan PKR juga mencalonkan timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali sebagai calon alternatif di samping Dr Wan Azizah, tetapi kepimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat kemudiannya setuju hanya nama Dr Wan Azizah yang akan diterima.

Sehubungan itu, menteri besar penggal kedua itu berkata beliau akan menemui Sultan untuk mendapatkan nasihatnya selepas baginda pulang dari bercuti di luar negara. Tuanku dilaporkan akan tiba di tanah air Sabtu ini. Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad menjangka kongres akan datang ini berupaya memperkuatkan keperluan parti untuk maju ke depan dan berdiri teguh di belakang Dr Wan Azizah.

"Tidak dinafikan kita mencapai beberapa kejayaan selama 6 tahun memerintah Selangor, tetapi ada beberapa perkara yang kita masih boleh perbaiki dan ada lain yang kita mesti berikan tumpuan," katanya.

Selangor negeri terkaya dianggap permata PKR, di mana ia merupakan 'template' untuk parti dan Pakatan mempromosikan dasar negara, kata Nik Nazmi yang juga timbalan speaker Dewan Undangan Negeri.

Parti itu juga perlu memperbaiki hubungan dengan PAS dan Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor akan datang menjadi medan ujian kedua-dua pihak mengetepikan ketegangan baru-baru ini dan membuktikan mereka boleh bekerjasama merampas kerusi negeri Kelantan itu dari Umno.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Sim Tze Tzin menyifatkan perbezaan pendapat antara keduanya baru-baru ini seperti pertengkaran antara suami isteri, akhirnya semua orang sedar yang mereka akan lebih kuat jika bersama sebagai satu pakatan.

"Ya, keadaan tegang sejak beberapa minggu lalu tetapi kita lebih hargai dan sayangkan hubungan kita. Kami akan berdamai dan berusaha memenangi kerusi itu," kata ahli Parlimen Bayan Baru penggal pertama itu.

PKR juga dibayangi isu seperti kes Liwat II melibatkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunggu proses rayuan pada Oktober, Naib Presiden N Surendran didakwa bawah Akta Hasutan, pengarah strategi Rafizi Ramli dengan kes membabitkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, Naib Presiden Tian Chua didakwa kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis dan Nik Nazmi dengan kes di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, seorang wakil rakyat akan hilang kelayakan jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih dua tahun dan tidak menerima pengampunan. Adakah perkembangan ini akan melumpuhkan parti?

"Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kes mahkamah dan penindasan berterusan terhadap pemimpin kami, tidak ada rasa bimbang, merajuk atau khuatir yang kita sedang menuju keruntuhan selepas ini.
"Yang mengikat kita bukan Anwar, tetapi kepercayaan yang keadilan sosial akan ditegakkan. Ini yang akan menyatukan rakyat Malaysia," kata seorang pemimpin kanan parti yang berkeras tidak mahu dinamakan.

Ketua Pemuda Shamsul Iskandar Mohd Akin juga menafikan parti itu sedang di ambang kejatuhan dengan beberapa pemimpinnya berdepan hukuman penjara.

"Kami tunjukkan kami dapat mengatasi cabaran itu. Kami berdoa Anwar dan pemimpin kami yang lain tidak dianiaya, tetapi jika ia berlaku, akan ada orang baru tampil ke depan untuk meneruskan perjuangan parti.
"Kami mempunyai barisan kepimpinan yang jelas, termasuk pemimpin barisan kedua dan ketiga yang akan membantu pemimpin yang lebih tua dan berpengalaman," katanya. – 21 Ogos, 2014. (TMI) 

Lihat sebelum ini.. 
E-Buku IH-92: Selamatkah K'jaan PR S'gor?
E-Buku IH-92: Selamatkah K'jaan PR S'gor?

No comments:

Post a Comment