Wednesday, August 06, 2014

Sidang Media PKR S'gor Kecoh, Berebut MB?



Sidang akhbar PKR kecoh selepas media diberikan dua kenyataan akhbar berbeza berhubung calon menteri besar Selangor, di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 6 Ogos, 2014. Sidang akhbar PKR kecoh selepas media diberikan dua kenyataan akhbar berbeza berhubung calon menteri besar Selangor, di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 6 Ogos, 2014.

Sidang media PKR Selangor hari ini kecoh apabila media menerima dua kenyataan akhbar berbeza mengenai nama calon menteri besar yang dipersetujui mereka.

Kenyataan pertama menyatakan sokongan penuh terhadap presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, semasa sidang media berlangsung, seorang individu yang tidak dikenali menarik balik kenyataan itu dan menggantikannya dengan kenyataan baru yang mencadangkan dua nama iaitu Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Pada sidang media itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mengumumkan senarai nama cabang parti, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen yang menyatakan persetujuan menyokong Dr Wan Azizah.

"Kita menyeru semua ahli parti menyokong presiden kita sebagai menteri besar Selangor.
"Menjadi harapan kita dengan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar, krisis yang berlaku sekarang dapat diselesaikan dan agenda perubahan dan semangat transformasi dapat diteruskan," katanya di ibu pejabat PKR.

Apabila kenyataan kedua tersebar, keadaan mula menjadi kecoh apabila pemimpin PKR Selangor yang hadir enggan menjelaskan kepada media situasi sebenar yang berlaku. Kenyataan akhbar kedua itu mendakwa selain Dr Wan Azizah, pencalonan Azmin turut disokong Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di mana Azmin merupakan pengerusinya dan Zuraida timbalan. Kenyataan tersebut berkata meskipun bersetuju Dr Wan Azizah dilantik sebagai menteri besar, mereka merasakan Azmin juga layak untuk dicalonkan bersama.

"Kami berpendirian pimpinan PKR harus membenarkan seorang lagi nama diangkat dan dibentangkan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebagai calon menteri besar Selangor berdasarkan sokongan diterima daripada sebahagian besar pimpinan kanan," memetik kenyataan itu.
Ia juga menyebut Azmin sebagai pemimpin yang diyakini daya tahan dan daya juang berdepan dengan asakan Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Azmin diyakini mampu mencorakkan hala tuju Pakatan Rakyat, menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh pentadbiran Pakatan berteraskan tatakelola yang baik dan peduli rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Zuraida yang kemudiannya bersetuju menjelaskan kekeliruan tersebut mendakwa tidak mengenali individu yang mengedarkan kenyataan berkenaan walaupun lelaki itu memakai baju rasmi Pakatan.

"Kita tidak tahu siapa yang mengedarkan, itu bukan kerja kita," katanya kepada media di depan ibu pejabat PKR.

Zuraida kemudiannya meminta media merujuk kenyataan media yang pertama diedarkan.

"Kita tidak tahu mengenai kenyataan itu, kita hanya edarkan sokongan kita kepada Dr Wan Azizah. Itu yang sah," katanya.

Setelah didesak, Zuraida juga menjamin PKR akan mencari individu yang bertanggungjawab menyebarkan kenyataan media berkenaan.

"Kita akan siasat perkara ini, kerana di ibu pejabat ini siapa pun boleh masuk, jadi banyak kemungkinan.
"Ia boleh jadi sabotaj. Tapi kita tidak tahu lagi. Kita akan lihat melalui kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Ditanya adakah penyebaran kenyataan media itu sengaja dilakukan sebagai agenda mengangkat Azmin sebagai menteri besar, Zuraida menafikannya.

"Tidak ada. Ia bukan strategi naikkan Azmin sebagai menteri besar. Apa pun, pendirian kita adalah seperti kenyataan pertama," katanya.

Keadaan juga sedikit kecoh apabila Ketua Cabang Tanjung Karang Selangor Mohd Yahya Saari menuduh media yang menyebarkan kenyataan itu.

"Kita tidak tahu siapa yang edarkan. Kita berada di depan. Anda duduk di belakang. Boleh jadi media yang edarkan," katanya.
Tuduhannya itu menyebabkan kumpulan media naik berang dan mendesaknya menarik balik dakwaannya. Situasi itu kemudiannya ditenangkan oleh Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin yang mengakui tuduhan itu tidak berasas. Yahya juga kemudiannya turut menarik balik tuduhannya dan meminta maaf kepada media dengan menyatakan dia hanya bergurau.

Terdahulu, pada sidang media, Zuraida mengumumkan 12 Adun Selangor menyatakan persetujuan menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar. Katanya, 12 Adun itu tidak termasuk Khalid dan Azmin.

"Setelah melalui beberapa proses rundingan, ketua cabang, exco dan Adun menyatakan persetujuan secara bertulis akan sokongan itu," katanya.

Ketika ditanya mengapa Azmin dikecualikan daripada menyatakan sokongannya, Zuraida berkata ia kerana Azmin merupakan timbalan presiden parti.

"Kita kecualikan beliau kerana Azmin adalah timbalan presiden. Sudah tentu beliau ada pandangan tersendiri. Selain itu, pemilihan PKR juga masih belum berakhir," katanya. – 6 Ogos, 2014. (TMI)

Lihat ini
E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?
  E-Buku IH-91: Langkah Kajang Langkah Sumbang?

No comments:

Post a Comment