Saturday, August 16, 2014

Simbol '4 Jari Rabaa' Terus Hantui Rejim As-Sisi

Oleh DR SYED AZMAN SYED AHMAD

Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan mempopularkan simbol '4 jari Rabaa' dalam satu kempen menyokong rakyat Mesir yang berlangsung di Turki pada Ogos 2013.
TARIKH 14hb Ogos merupakan genapnya setahun peristiwa pembunuhan berdarah di Dataran Raba’ah Adawiah, yang membawa kepada rampasan kuasa pemerintahan Presiden Mohamad Morsi di tangan rejim tentera di Mesir.

Setahun yang lalu, dataran bersejarah ini merupakan tempat berhimpun ratusan ribu penyokong Presiden Morsi yang mendirikan khemah-khemah sementara serta tempat himpunan utama mereka selama hampir dua bulan bagi menentang rampasan kuasa oleh rejim tentera yang diketuai Jeneral Abdul Fattah As-Sisi.

Pada tarikh ini, Dataran yang terletak di pinggir Kota Kaherah telah diserang bertubi-tubi dan dimusnahkan dengan kejam oleh beribu-ribu tentera dan polis khas junta tanpa sebarang perikemanusiaan.

Adalah dianggarkan jumlah angka korban serangan kejam di Dataran Rabaa’ ini melebihi 3,000 orang awam yang tidak berdosa dan lebih 10,000 lagi dilaporkan cedera.

Pada hari itu, polis dan tentera Mesir telah bertindak melancarkan operasi pembersihan di dua kem utama penunjuk perasaan pro-Presiden Mohammed Morsi. Turut terbunuh 65 kanak-kanak dan ramai lagi di tahap kritikal dan dirawat di hospital-hospital sekitar Kaherah.

Polis dan tentera Mesir yang turut disokong dengan kereta perisai, helikopter, penembak tepat serta jentolak telah bertindak menggempur kem penyokong Morsi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda di Kaherah.

Mereka menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata yang beracun untuk menyuraikan ratusan ribu rakyat awam yang berhimpun. Kebanyakan mangsa maut akibat terkena tembakan di kepala.

Bagi penulis yang pernah bersama-sama berada di Dataran Rabaa’ yang bersejarah ini, tiada bahasa yang dapat digambarkan kerana berpengalaman melihat sendiri kesan kemusnahan serta kebakaran terhadap dataran ini serta Masjid Rabaa’ dan hospital sementara yang terletak bersebelahannya.

Serangan tentera dan polis yang ganas itu telah mengakibatkan Masjid Rabaa terbakar serta bangunan hospital sementara bersebelahan dengan masjid juga telah dibakar oleh tentera yang bertindak ganas terhadap rakyat awam yang tidak berdosa.

Namun sehingga kini, simbol empat jari Rabaa’ yang pada mulanya ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki, Recap Tayyib Erdogan sewaktu berucap dalam satu himpunan di Istanbul kini menjadi lambang protes seluruh rakyat Mesir terhadap kekejaman junta tentera yang membunuh rakyat awam.

Perdana Menteri Erdogan yang mencetus simbol empat jari tersebut, menyebutnya sebagai simbol bagi mengenang medan Rabiatul Adawiyah (Raba’ah) yang telah dihancurkan oleh rejim tentera Mesir secara rakus.

Simbol empat jari ini memberi maksud Rabi’ah. Rabi’ah/arba’ah bererti Empat. Oleh sebab itu, angka 4 dijadikan sebagai simbol mengenang peristiwa di Rabaah sekaligus membawa maksud keteguhan, kekuatan serta solidariti terhadap rakyat Mesir yang dibunuh dengan kejam.

Setelah setahun peristiwa berdarah ini, ke mana-mana sahaja kita pergi di seluruh dunia, lambang empat jari Rabaa’ ini dapat dilihat ditampal di merata-rata tempat termasuk juga yang dibawa oleh rakyat awam di dalam demonstrasi-demonstrasi aman yang dianjurkan di seluruh pelosok dunia.

Penyokong Presiden Morsi serta NGO-NGO yang menentang rampasan kuasa tentera di Mesir melihat lambang ‘4 jari Rabaa’ ini sebagai sumber inspirasi dan kekuatan kepada mereka bagi berhadapan dengan kekejaman junta tentera.

Simbol ‘4 jari Rabaa’ ini juga kini terus menjadi minat anak-anak muda di seluruh dunia yang membantah kekejaman junta tentera Mesir dan ia tersebar luas melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan twitter.

Lambang ini menjadi simbol tanda sokongan anak-anak muda seluruh dunia terhadap rakyat Mesir yang menentang rampasan kuasa junta tentera serta tanda bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Dataran Rabaa.

Inilah realiti yang sedang berlaku di Mesir terkini. Simbol ‘4 jari Rabaa’ yang di tunjukkan oleh rakyat di seluruh dunia terus menjadi sumber inspirasi dan senjata bagi berhadapan dengan rejim junta tentera pimpinan As Sisi yang terus melakukan pelbagai kekejaman di Mesir.

Demonstrasi-demonstrasi bagi membantah rampasan kuasa tentera terus diadakan di seluruh Mesir hampir setiap minggu oleh anak-anak muda dan rakyat awam.

Sehingga kini adalah dianggarkan lebih 30,000 tahanan politik dipenjarakan seluruh Mesir. Mereka termasuk juga pemimpin tertinggi pergerakan Ikhwan Muslimin yang merupakan pergerakan paling berpengaruh di Mesir.

Selain dari Presiden Mohamad Morsi, antara pemimpin Ikhwan lain yang ditahan ialah Mursyid Ikhwan, Mohamed Al-Badie’, speaker parlimen, Saad El-Katatni, menteri-menteri kanan serta Dr. Issam Errian, dan Dr. Mehdi Akif.

Semoga kita tidak lupa dengan nasib saudara-saudara kita di Mesir ini di tengah-tengah kesibukan kita membantu saudara-saudara kita di Gaza dan di Syria.

Mereka juga sedang menghadapi ujian besar di dalam perjuangan dan ada yang diseksa di penjara-penjara di seluruh Mesir.

Sebahagiannya pula sedang menunggu hukuman gantung yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah rejim tentera yang di dokong kuat oleh Arab Saudi, UAE dan Amerika Syarikat serta sekutu mereka. - HARAKAHDAILY, 14/8/2014
__________________
Dr Syed Azman Syed Ahmad ialah Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat. Beliau boleh dihubungi menerusi emel, syedazmans@yahoo.co.uk dan twitter, @syedazman

No comments:

Post a Comment