Wednesday, August 20, 2014

Tahniah Erdogan! Menang P'raya Presiden.


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan di atas kejayaannya memenangi pilihan raya Presiden Turki baru-baru ini.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dalam suratnya yang dihantar kepada Erdogan 18 Ogos lalu mendoakan semoga Turki di bawah kepemimpinannya sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

“Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Kelantan, Malaysia ingin merakamkan penghargaan dan tahniah di atas kemenangan tuan dalam pilihan raya Presiden di Turki,” katanya pada surat yang dialamatkan kepada Istana Presiden di Ankara, Turki.

Kata beliau sebagai persaudaraan dalam Islam kita mesti sentiasa memberi perhatian yang tinggi bagi mempertahankan Islam dalam menghadapi diskriminasi dan ketidakadilan yang berlaku. Menurutnya juga Erdogan telah memberi sumbangan besar terhadap perpaduan umat Islam terutamanya mereka yang tertindas di seluruh dunia dengan keberanian diplomasi.

“Semoga Allah SWT memberikan kita keazaman yang kuat dan membimbing untuk memimpin umat ke jalan yang benar,” ujarnya.

Pada pilihan raya Presiden yang pertama kali diadakan di negara itu baru-baru ini Erdogan mencatat kemenangan apabila mendapat 52 peratus undi. Pencabar terdekatnya, Ekmeleddin Ihsanoglu hanya memperoleh 38.3 peratus. - HARAKAHDAILY 20/8/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails