Friday, September 05, 2014

A/Hadi Enggan Dedahkan Nama Calon MB S'gor.

 Orang ramai beratur untuk bersalaman dengan Abdul Hadi Awang selepas kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang.

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang enggan mendedahkan senarai nama calon bakal MenterI Besar Selangor yang telah dihantar oleh parti itu kepada pihak Istana, 3 September lalu.

Justeru, beliau turut menasihatkan kepada pihak media agar tidak membuat spekulasi serta ‘serkap jarang’ terhadap nama-nama yang diserahkannya itu.  Hal ini kerana, kata Datuk Seri Abdul Hadi setelah senarai nama calon Menteri Besar yang diminta oleh pihak Istana dihantar menjadi hak Sultan Selangor mengumumkannya.

“Saya berpegang kepada prinsip dan konsep Perlembagaan iaitu Raja Berperlembagaan. Saya tak boleh beritahu, tak boleh mendahului Istana.
“Itu (spekulasi) saya tidak mahu serkap jarang. Saya tidak mahu bagi media serkap jarang, setelah saya serah kepada Istana dan Istana ‘berpijak’ di atas konsep Raja Berperlembagaan,”ujarnya ketika ditemui pihak media selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Abdul Hadi diasak oleh pihak media agar PAS mendedahkan senarai nama calon MB Selangor yang baharu serta tidak mencalonkan nama Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Itu (nama calon) saya tak boleh sebut… takboleh sebut. Ini setelah saya serah kepada Sultan (Sharafuddin Idris Shah) saya tak boleh lagi sebut apa-apa,” jelasnya.

Malah, kata beliau, PAS tidak pernah tunduk atau mengalah kepada mana-mana parti tetapi berpegang teguh dengan kesepakatan dalam konvensyen Pakatan Rakyat.

“Tidakmengalah, kita (PAS) berpegang kepada konvensyen Pakatan Rakyat yang meletakkan Islam agama Persekutuan, Raja Perperlembagaan. Itu dalam Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Presiden PAS itu turut ditanya tentang spekulasi penubuhan sebuah parti baharu ‘pecahan’ PAS yang dinamakan Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), adakah bakal memberi saingan kepada parti. Kata Abdul Hadi, beliau tidak tahu menahu mengenai penubuhan parti Pasma itu tetapi tidak menjadi masalah dalam negara demokrasi.

“Negara kita (ini) demokrasi dan pernah dulu parti Islah dan sebagainya pernah ditubuhkan itu biasalah dalam negara demokrasi,” jelasnya.

Isu kontroversi jawatan Menteri Besar Selangor kembali ‘hangat’ setelah tarikh senarai nama calon yang diminta oleh pihak Istana Selangor daripada Pakatan Rakyat terdiri parti PKR, DAP dan PAS berakhir pada 3 September lalu. Sebelum itu, PAS tetap dengan keputusan bersama Majlis Pakatan Rakyat bahawa jawatan MB Selangor tersebut diserahkan kepada Parti KeADILan Rakyat. 
(Suntingan dari- HARAKAHDAILY 5/9/2014 )

No comments:

Post a Comment